Navugen

 

Kuala Lumpur, 9 Januari 2024, 21:00 – NOVUGEN Oncology Sdn Bhd, syarikat inovatif Malaysia, baru-baru ini mencipta sejarah sebagai syarikat pertama di negara ini dan Asia Tenggara yang berjaya memperoleh kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (USFDA) untuk kemudahan pembuatan ubat onkologi.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, mengumumkan kejayaan tersebut dan menyatakan bahawa Kementeriannya telah mengenalpasti lima sektor utama untuk menarik pelaburan berimpak tinggi di Malaysia, termasuk sektor farmaseutikal.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Novugen Oncology di atas kejayaan mendapat kelulusan daripada USFDA bagi kemudahan pembuatannya yang mengkhususkan dalam ubat onkologi.

“Bagi yang tidak biasa dengan terma ini, onkologi adalah bidang perubatan berkaitan kanser. Dengan kelulusan ini Novugen menjadi satu-satunya syarikat di rantau Asia Tenggara yang diiktiraf oleh UFDSDA untuk menghasilkan ubatan berkualiti tinggi bagi pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Saya harap lebih banyak syarikat farmaseutikal yang berpusat di Malaysia akan dapat mengikut jejak langkah Novugen Oncology bagi terus memajukan sektor farmaseutikal negara kita,” katanya dalam satu hantaran di laman X rasmi beliau.

Dengan mengkomersialkan dua produk di AS, iaitu tablet Abiraterone 250mg dan 500mg serta Midodrine 2.5mg, 5mg dan 10mg, Novugen Oncology membuktikan keupayaannya sebagai pemain utama dalam industri farmaseutikal global.

Novugen Oncology adalah anak syarikat penuh milik SciTech International, sebuah firma berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun dalam industri penjagaan kesihatan.

Syarikat ini telah melengkapkan dirinya dengan keupayaan strategik perniagaan penjagaan kesihatan dan pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan berkelas dunia.

Kemudahan pengeluaran Novugen di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, Malaysia, memberikan akses yang mudah ke pasaran serantau dengan lokasinya yang strategik, hanya beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dengan kawasan seluas 12 ekar dan direka bentuk mengikut standard USFDA, kemudahan ini memenuhi keperluan kawal selia ketat antarabangsa, memberikan keyakinan kepada Novugen Oncology untuk terus memimpin dalam industri farmaseutikal.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Daftar Kad Diskaun Khas Untuk Pengusaha Menu Rahmah