Kuala Lumpur, 9 Januari 2024, 10.00 malam –MENTERI Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja jika majikan memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau memotong gaji sewenang-wenangnya apabila memilih untuk menghentikan sementara operasi syarikat susulan gangguan bekalan air di Pulau Pinang pada 10 hingga 14 Jan ini.
Untuk kes yang sebegini, majikan boleh didenda hingga RM50,000 di bawah Akta Kerja 1955 jika memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau memotong gaji.
Beliau mengulas dakwaan pekerja di sektor perkilangan yang diminta menggunakan cuti tahunan atas alasan kilang menghentikan operasi sementara akibat gangguan bekalan air.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai, berkata, gangguan bekalan air selama empat hari di seluruh Pulau Pinang pada Januari ini tidak akan menjejaskan industri pelancongan negeri itu.
Pihak hotel juga sudah pun dimaklumkan lebih awal agar mengambil langkah kontingensi dengan menyediakan simpanan tambahan bagi kegunaan sepanjang tempoh ketiadaan air dan sementara bekalan dapat dipulihkan sepenuhnya.
Wong Hon Wai berkata, beliau mengambil maklum mengenai kekhuatiran Pengerusinya Tony Goh mengenai situasi itu akan menjejaskan operasi perhotelan di negeri ini.
Berdasarkan maklumat diterima daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), hotel di sepanjang Batu Feringghi dan Tanjung Bungah tidak terjejas kerana mereka bergantung kepada Empangan Teluk Bahang dan yang terjejas hanyalah hotel di George Town dan Seberang Perai.
Wong berkata beliau akan memanjangkan kebimbangan MAH itu kepada pihak PBAPP dalam masa terdekat walaupun kebanyakannya sudah diminta menyimpan air tambahan untuk tiga atau empat hari kerana tangki sedia ada hanya mampu bertahan 48 jam.
Sebelum ini, PBAPP mengumumkan 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi, 10 Jan hingga 6 pagi, 14 Jan bagi memberi laluan kepada kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, selain kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.
#PrezCom