Golongan T20 Menghantar Anak Ke MRSM Dengan Alasan Untuk Anak Kenal Erti Kesusahan

Kuala Lumpur, 5 December 2023, 11:28 – PRESIDEN Anak Sains Mara (ANSARA) Malaysia, Mohd Fadzil Yusof, berkata, ibu bapa golongan berpendapatan tinggi (T20) sanggup menghantar anak masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk mengajar tentang kesukaran hidup.

MRSM merupakan institusi pendidikan itu dilihat sebagai tempat sesuai bagi anak mereka bergaul dengan pelajar lain daripada pelbagai latar belakang.

Menurut Mohd Fadzil, beliau pernah bertanya kalau mereka (ibu bapa T20) mampu untuk hantar anak ke sekolah swasta, kenapa mahu berebut masukkan ke MRSM? Jawapannya adalah di sekolah swasta, kos pembelajaran sampai RM3,000 sebulan.

Jawapan lain yang diterima oleh Mohd Fadzil apabila diajukan soalan yang sama kepada ibu bapa daripada golongan T20 adalah, mahu mengajar anak hidup susah. Itu merupakan satu jawapan yang mengejutkan buat dirinya.

“MRSM kononnya menjadi tempat terbaik untuk anak mereka berkawan dengan golongan B40,” katanya dalam Wacana Sinar edisi 426 bertajuk ‘MRSM untuk B40 sahaja?’ pada Selasa.

Di dalam program Wacana Sinar itu turut menjemput dua lagi panelis iaitu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial.

Di dalam program tersebut, Mohd Fadzil mencadangkan golongan T20 membayar kos pembelajaran di MRSM berbanding menubuhkan sekolah swasta di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan sisi gelap sikap dan pemikiran sebahagian ibu bapa berkemampuan atau berada dalam kategori M40 apatah lagi T20, sanggup berbuat apa saja demi memastikan anak mereka dapat memasuki MRSM.

Terdapat segelintir ibu bapa sanggup menipu pendapatan masing-masing supaya dikategorikan B40 bagi membolehkan anaknya diterima memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) membuktikan amalan itu bukan cerita rekaan.

Golongan ibu bapa ini sanggup menipu kerana mahu merebut pelbagai insentif ditawarkan MARA kepada pelajar keluarga kategori B40 seperti bantuan pendidikan menerusi Program Pendidikan Budi MARA (BUDI MARA).

Namun, seperti ditegaskan Asyraf Wajdi, perbuatan menipu maklumat keluarga ini semata-mata bagi membolehkan anak ditawar ke MRSM dan menerima bantuan khas sebenarnya murid terbabit belajar dalam keadaan tiada keberkatan kerana mengambil hak orang miskin lain.

MRSM sebenarnya sudah pun mengetahui ada ibu bapa memalsukan maklumat pendapatan. Semuanya berada dalam kocek MRSM. Namun, MRSM tidak mampu mengambil tindakan sewajarnya terhadap ibu bapa yang menipu ini.

Isu ini perlu dijadikan iktibar kepada MARA bahawa mereka perlu meningkatkan lagi tahap keupayaan teknologi sistem tapisan permohonan dan kemasukan pelajar baharu. Berdasarkan maklumat direkod MRSM ini, ibu bapa yang dikesan menipu maklumat pendapatan mereka patut disenarai hitamkan.

MARA perlu bertegas untuk membendung perbuatan tidak bermoral ini kerana penipuan ibu bapa bukan sekadar menafikan hak golongan pelajar benar-benar layak, bahkan menjaga nama dan kredibiliti MRSM serta kualitinya melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah sebagai pemimpin masa depan.

#PrezCom