Kuala Lumpur, 2 Januari 2024.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan media Bil.1/2024 berhubung urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri-Negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian l dan Bahagian ll, Perlembagaan Persekutuan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilihan di masa akan datang.
Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan (8) tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu, atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Bagi maksud tersebut; urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018. Manakala bagi Negeri Sarawak dan Negeri Sabah pula adalah masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2017.
Berikutan itu pihak SPR tidak merancang untuk melaksanakan kajian persempadanan semula bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.
Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan YAB Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. SPR tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuatkuasa. Manakala bagi Negeri Sarawak pula, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.
Sementara itu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengemukakan cadangan untuk kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menurut presidennya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa partinya mempunyai tanggungjawab khusus terhadap isu persempadanan semula.
#PrezCom