Kuala Lumpur, 30 Disember 2023, 10:40 – KOMITMEN terhadap alam sekitar dan aspirasi negara menuju ke arah neutral karbon pada tahun 2050 terus diperkukuhkan dengan lanjutan Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang memberikan bekalan elektrik dari sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Program ini, yang bermula pada tahun 2022, dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam untuk menyokong agenda Environmental, Social, and Governance (ESG). Kini, program ini akan diteruskan pelaksanaannya sehingga tahun 2024.
Pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi. Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates atau mREC® yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.
Pada bulan Februari 2023, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad mengumumkan langganan GET dengan kuota sebanyak 6,600GWj dan kadar premium sebanyak 21.8 sen/kWj. Kadar premium ini dibentuk berdasarkan penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk serupa.
Bagi pengguna yang telah melanggan program GET, penting untuk diberitahu bahawa langganan akan tamat secara automatik pada 31 Disember 2023. Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam kini sedang melakukan kajian mendalam dan usaha penambahbaikan bagi memastikan kesinambungan serta keberkesanan program ini. Antara perkara yang sedang dikaji termasuk:
a. Menilai semula kadar premium untuk menjadikannya lebih kompetitif dan menarik;
b. Meninjau semula kaedah penawaran GET untuk membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang; dan
c. Menetapkan kaedah untuk memberikan keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada yang setia bersama program ini untuk memperbaharui langganan masing-masing.
Perincian lanjutan mengenai tawaran, pelaksanaan, dan kaedah langganan program ini akan diumumkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam dalam masa terdekat, setelah kajian dan penelitian program ini diselesaikan.
#PrezCom