Individu berpangkat ‘Tun’ perlu disiasat sekiranya tidak dapat mengistiharkan bagaimana memperoleh kekayaan.

Kuala Lumpur, 28 Disember 2023, 17:00 – BEKAS Perdana Menteri sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir Mohammad menegaskan bahawa beliau bersetuju mereka yang mempunyai darjah kebesaran berpangkat ‘Tun’ perlu disiasat sekiranya tidak dapat mengistiharkan secara terperinci bagaimana mereka memperoleh kekayaan.

Mahathir juga berkata, mereka yang gagal memberi kerjasama dalam memberi keterangan tentang asset yang berada di dalam simpanan mereka maka aset-aset itu perlu disita. Di dalam hal ini, dokumen-dokumen yang berkaitan perlu disemak terlebih dahulu bagi mengesahka aset–aset tersebut sama ada memang benar milik mereka yang diperolehi secara sah atau terdapat keraguan.

Dr Mahathir berkata, bukan satu keperluan untuk memperoleh bukti dokumen berhubung salah laku mereka dan syak wasangka semata-mata tidak mencukupi. Mereka yang berpangkat Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka perlu ditahan reman sehingga mereka mendedahkan punca kekayaan mereka. Jika tidak, ia bermaksud mereka menyembunyikan sesuatu.

“Rasuah perlu dihapuskan sama sekali. Jika Peguam Negara berpandangan dakwaan itu bersifat politik, maka menjadi hak Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan. Pasport perlu dipulangkan kerana ini adalah hak Peguam Negara. Mahkamah tidak boleh persoal keputusan Peguam Negara,” kata Dr Mahathir dalam hantaran di akaun media sosial beliau pada Rabu.

 

Media sebelum ini melaporkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan sitaan sebuah bangunan baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun, enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan. Beliau berkata, tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar baru-baru ini tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang kepada undang-undang dan pesalah pertama mesti menerima tindakan penuh undang-undang. Jika hukuman sebat itu wajib, maka pesalah perlu disebat. Undang-undang Malaysia yang mempunyai peraturan terperinci. “Kita semua perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan.” katanya lagi.

#PrezCom