Kuala Lumpur, 26 December 2023, 12.00 tengahari – SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini lebih kurang 90,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara dilihat semakin terhimpit akibat kurang mendapat tawaran projek dari kerajaan. Kontraktor bumiputera kini kian lesu dan diantara punca berkemungkinan berkait dengan pertukaran kerajaan yang menyebabkan sesetengah projek tertangguh atau dibatalkan terus.
Bukan sahaja kurang mendapat projek, malah, ada yang tidak mendapat satu pun projek dan yang paling terjejas adalah kontraktor kelas rendah G1 hingga kelas pertengahan G5. Ia bukan sahaja memberi kesan yang teruk kepada kedua-dua kelas kontraktor tersebut, ia juga memberi kesan kepada semua kelas kontraktor.
Demi kelangsungan hidup, ramai diantara mereka yang terpaksa membuat kerja lain seperti menjadi tukang rumah, petani, membuka kedai runcit dan nelayan.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, ada projek yang ditangguh membabitkan nilai berbilion ringgit masih belum dimulakan lagi, mereka juga tidak berupaya untuk mengharapkan projek baharu.
Sebagai contoh, Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang ditangguh sebelum ini, hanya 20 sahaja dari 100 projek yang diteruskan, manakala bakinya belum lagi diketahui statusnya hingga kini.
Bukan menafikan langsung adanya projek, namun ia sangat sedikit berbanding jumlah kontraktor di seluruh negara yang mencecah lebih 140,000 orang. Sememangnya ada projek baharu, daripada kementerian atau agensi tertentu seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan lain-lain tetapi ia tidak mencukupi.
Contoh lain yang boleh diterjemahkan adalah, dalam satu tahun hanya ada 5,000 projek ditawarkan untuk direbut kontraktor G1, bagaimana pula dengan ratusan ribu kontraktor lain yang hanya bergantung hidup semata-mata dengan kerja-kerja kontrak sahaja?
Itulah yang disebut oleh Datuk Mohd Rosdi sebagai ‘ Kontraktor Lesu’. Apa yang boleh dilakukan? Hanyalah bertahan sahaja walaupun di dalam kelesuan namun untuk menutup syarikat yang mereka bina dan daftar tidak akan sekali-kali ditutup.
Mohd Rosdi berkata, walaupun sudah bertahun tidak mendapat projek, mereka yang bergelar kontraktor serta berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) tidak sewenang-wenang boleh menutup syarikat. Justeru, mereka tetap bertahan walaupun dianggap hilang keupayaan kerana tidak mendapat projek.
Menurut Rosdi lagi, Sekali kita tutup lesen dengan CIDB, peluang kedua (mendapatkan lesen) sangat sukar dan untuk bertatih semula dalam bidang ini bukan perkara mudah. Membina sebuah kerjaya sebagai kontraktor bukan lah dalam masa yang singkat. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berdiri teguh dan memakan modal yang banyak untuk menjayakan sesuatu projek
Rosdi berkata, jumlah kontraktor yang sedia ada sudah terlalu mencukupi jika dibandingkan dengan projek yang ditawarkan. Antara gesaan PKMM kepada kerajaan ialah, henti atau mengehadkan pemberian lesen baharu kepada kontraktor bagi mengelakkan berlaku lambakan lesen di pasaran. Ini antara perjuangan yang sering kita tekankan, namun kita juga perlu akur dengan politik semasa.
Apa yang dikhuatirkan adalah jumlah lesen yang makin banyak setiap tahun dan sudah tentu lambakan kontraktor akan berlaku diseluruh negara dan perniagaan akan terjejas akibat persaingan serta banyak yang berdepan dengan risiko gulung tikar atau syarikat ditutup.
Pada April lalu, PKMM mendedahkan lebih 1,000 kontraktor Bumiputera terpaksa berputih mata dan menanggung kerugian besar apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Program Jana Wibawa ketika pentadbiran kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibatalkan untuk ditender semula.
Amat menyedihkan apabila Program Jana Wibawa yang memberikan projek kepada beribu kontraktor bumiputera dan telah diluluskan ketika pentadbiran kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibatalkan dan ditenderkan semula oleh kerajaan yang baru mengambil alih.
Disebabkan itu, kontraktor bumiputera yang terbabit terpaksa berputih mata dan mengalami kerugian kerana sudah melantik arkitek, jurutera, juruukur bahan dan juruukur tanah untuk menyiapkan dokumen tender projek, dengan bayaran yang sudah dilunaskan sepenuhnya.
Sekurang-kurangnya 100 projek yang kebanyakannya melibatkan kan tender terhad menerusi Jana Wibawa yang bernilai bilion ringgit akan dibuka untuk tender semula sedangkan kontraktor sebelum ini sudah menyusun dan melunaskan bayaran termasuk melantik jururunding bertauliah untuk menyelia projek itu.
Difahamkan Kebanyakan projek membabitkan pembinaan jalan di luar bandar dan projek tebatan banjir. Jika dinilai kembali dengan apa yang berlaku seolah-olah terdapat satu penginayaan kepada satu pihak lain?
Mengapa tidak diteruskan dengan kontraktor yang telah melabur jutaan ringgit untuk projek-projek tersebut dari membiarkan mereka kerugian?Masihkah ada lagi insan yang perihatin dengan nasib bangsanya sendiri ketika ini?
#PrezCom
Baca Lebih Banyak Berita: