MOJO Madani

Kuala Lumpur, 19 December 2023, 18:00 – KEMENTERIAN Komunikasi menerusi Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) telah meluncurkan Buku Panduan Pelapor Mobile Journalism (MOJO) MADANI dalam usaha melahirkan pengamal media yang pantas, tepat dan beretika.

 

Buku itu adalah cetusan idea Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk meningkatkan kebolehpasaran pengamal media profesional termasuk wartawan warga (citizen journalist) yang semakin berkembang di negara ini untuk pelaporan pantas, sahih dan benar.

 

IPPTAR dalam kenyataan memaklumkan selain pengamal media, pembaca Buku Panduan MOJO MADANI juga diharap dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dan kemahiran pelaporan wartawan peranti.

 

“Buku panduan ini direalisasikan menerusi usahasama pengamal media tempatan, ahli akademik daripada Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang bermula Jun lepas. Naskah yang diterbitkan ini turut dijadikan modul latihan pelaporan kewartawanan peranti dan rujukan pengajian kewartawanan dan media di institusi pengajian tinggi tempatan,” menurut kenyataan itu.

 

Buku yang mengandungi 24 halaman itu menyentuh mengenai pengenalan kepada asas pelaporan peranti, persediaan dan teknologi MOJO, panduan penulisan skrip dan kata kunci, asas syot pelaporan, prinsip penyuntingan video dan etika berkaitan penyuntingan.

 

Fahmi dalam prakata buku itu berkata buku panduan itu seharusnya dimanfaatkan oleh semua pihak yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan, khususnya MOJO.

 

“Buku panduan ini diharapkan akan menjadi rujukan pengamal media dan wartawan warga untuk menghasilkan laporan dan berita yang beretika serta mendukung prinsip ‘pastikan sahih baru kongsi,” katanya.

 

Penerbitan buku itu selari dengan komitmen IPPTAR dan rakan strategik dalam menyahut idea asal Fahmi untuk menghasilkan satu buku panduan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

la juga antara pendekatan Kementerian Komunikasi dalam melaksanakan transformasi ke arah mendidik pengamal media dan wartawan warga menyampaikan laporan, maklumat dan fakta yang sahih serta benar, seiring dengan kemajuan teknologi digital yang kian berkembang pesat.

 

Buku panduan yang julung kali diterbitkan di negara ini dijangka bakal memberi manfaat untuk dijadikan asas kepada modul latihan pelaporan wartawan peranti dan rujukan pengajian kewartawanan dan media di negara ini bagi tujuan peningkatan kemahiran selari teknologi dan inovasi terkini.

#PrezCom

 

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Elak Kes Anak Hilang Berulang, Ibu Ayah Perlu Sediakan Beberapa Alat Untuk Menjejaki