Kuala Lumpur, 17 December 2023, 10.00 – KETUA Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, mendedahkan langkah kerajaan Thailand dilihat ada kesan positif dalam mengawal kegiatan penyeludupan daun ketum dari negara ini ke negara tersebut.
Jika sebelum ini harga daun ketum Malaysia mencecah RM180 bagi satu kilogram (kg), kini merosot sehingga RM30 di negara itu manakala di Perlis, harganya sekitar RM10 bagi sekilogram.
Selain dari itu, langkah kerajaan Thailand membenarkan penanaman daun ketum untuk tujuan perubatan di negara itu menyebabkan harga ketum Malaysia tidak laku di negara itu dan merosot hampir 200 peratus. Disebabkan itu, daun ketum Malaysia tidak laku seperti dahulu.
Kegiatan penyeludupan daun ketum tempatan kini kembali beralih kepada pasaran domestik yang mana ia akan diseludup dan diedarkan ke negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagiannya dibawa ke selatan tanah air.
Walaupun kes penyeludupan ketum ke negara Thailand terutamanya dari Perlis menurun lebih 50 peratus, Sindiket penyeludupan masih juga meneruskan kegiatan mereka. Kali ini sindiket tersebut telah beralih kepada menyeludup barangan lain seperti petrol dan diesel, beras, gula serta barangan bersubsidi yang lain.
Dengan berkurangannya kes penyeludupan ketum ke negara jiran, ini membolehkan agensi yang dipertanggungjawabkan menumpu tugas kepada permasalahan jenayah lain termasuk rentas sempadan serta penyeludupan barangan bersubsidi lain.
Walaupun daun ketum negara ini sudah hilang nilainya dipasaran luar negara, ia tetap mendapat permintaan dalam pasaran tempatan di negara ini.
Terdahulu, Muhammad menyaksikan pelupusan kes membabitkan daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu di Padang Besar.
#PrezCom
Baca Lebih Banyak Berita:
Langkah Berani Malaysia Menuju Masa Depan Bebas Dadah: Strategi Baru untuk Tahun 2023