Kuala Lumpur, 7 December 2023, 16:30 – PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini menjadi pilihan utama di kalangan generasi muda. Aspek kemahiran yang diajarkan dalam bidang ini dianggap sebagai daya penarik Utama dalam mempersiapkan graduan untuk bersaing dalam arena industri.
Inisiatif untuk mewujudkan transformasi ini tidak akan terlaksana tanpa usaha gigih Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merangka pelbagai program TVET. Program ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mengamalkan kemahiran dan pengetahuan sebelum menyumbang kepada kemajuan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, mengucapkan tahniah kepada KPT kerana terlibat dalam perubahan positif dalam bidang pendidikan negara.
“Tahniah kepada Menteri KPT, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, dan kementeriannya yang mengambil langkah proaktif, khususnya dalam memenuhi keperluan industri melalui politeknik. Industri telah berubah, dan politeknik adalah institusi yang memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan yang bersesuaian dengan perubahan ini,” katanya.
Politeknik akan menjadi medan dan pemain utama untuk latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Transformasi Politeknik 2023-2030, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Transformasi ini adalah satu proses mengoptimumkan bakat, potensi serta peluang negara untuk menjadi maju dan berdaya saing melalui lapangan TVET,” katanya.
Kerangka Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merumuskan empat matlamat, tiga inisiatif pembaharuan berstrategik, 13 agenda pembaharuan kritikal dan 18 objektif strategik. Ketika berucap, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan memberikan perhatian serius kepada pemantapan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM76.8 bilion di bawah Belanjawan 2024.
KPT turut akan menaik taraf Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, Perak, sebagai politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX). Mohamed Khaled menyatakan bahawa ini adalah langkah penting dalam Program Transformasi Politeknik 2023-2030 untuk membangunkan politeknik APEX.
“Setiap politeknik di negara kita perlu mempunyai standard cemerlang yang boleh dijadikan panduan. Pembangunan politeknik APEX ini bukan sahaja akan menawarkan program yang lebih maju dan kompetitif, tetapi juga akan meningkatkan penawaran program ijazah sehingga 50%,” katanya.
Dalam usaha untuk menjayakan transformasi ini, KPT akan melaksanakan lima strategi, termasuklah memanfaatkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan, industri, dan institusi TVET.
“Dengan lebih daripada 10 persatuan yang terlibat dalam GITC, kami yakin ekosistem TVET negara akan menjadi seiring dengan perkembangan industri. Sehingga kini, lebih daripada 50 persatuan industri yang mewakili 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GITC,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata transformasi politeknik mesti dijayakan kerana wujudnya cabaran abad ke-21 seperti gelombang Revolusi Industri (IR 4.0), penggunaan Internet benda, kecerdasan buatan (Al), pendigitalan serta teknologi disruptif.
“Kesemua ini merupakan satu ledakan yang menuntut penyelarasan semua program latihan yang kita tawarkan. la mesti bersifat semasa. Malah, ia mesti menjawab keperluan dan permintaan terkini pasaran. Kandungan pengajian, kaedah dan pendekatan pembelajaran, serta fokus sesuatu penyelidikan dan inovasi. Semua ini mesti tidak boleh terpisah daripada kemaraan teknologi semasa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menekankan keperluan mempelbagai hubungan dan jalinan kerjasama dengan semua pihak khususnya pemain industri.
“Jalinan hubungan sangat penting dan kena keluar dari kepompong kelaziman. Segala jalinan dan hubungan yang ada mesti dirancakkan. Kita mesti bersama-sama meneroka dan memeta kerjasama yang lebih radikal dan pelbagai dengan semua pihak,” katanya.
Dengan pelbagai inisiatif dan sokongan kerajaan, era transformasi TVET di Malaysia dijangka memberikan impak positif kepada industri dan mencipta graduan yang lebih berkualiti serta berdaya saing.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>