
Kuala Lumpur, 29 November 2023, 12:52 – ZAMAN telah lama moden tetapi kefahaman masih ditakuk lama. Inilah yang boleh digambarkan mengenai situasi yang berlaku di negeri Kelantan ketika ini di dalam kategori pasangan dan perkahwinan, seramai 533 Pasangan Bawah Umur Nikah Di Kelantan!
Sungguhpun perkahwinan adalah hak individu seseorang, namun, ibu bapa seharusnya berfikir lebih jauh demi masa depan anak-anak mereka di dalam mendepani cabaran hidup yang makin lama semakin mencabar ini.
Jodoh adalah rahsia Allah, namun perlu diingat bahawa merancang adalah hak kita tetapi dengan izinnya jua. Tidak salah dan tidak berdosa untuk merancang masa depan anak-anak kerana mereka adalah orang-orang yang akan mengemudi hidup mereka sendiri tanpa keberadaan ibu bapa satu ketika nanti.
Anak-anak terlalu muda maka sebab itu mereka tidak dapat menilai lebih awal tentang perjalanan kehidupan mereka akan datang. Di situlah peranan ibu bapa bermula iaitu untuk membentuk sikap anak-anak.
Tular di media baru-baru ini, mengenai terdapat 533 kes pasangan muda iaitu sekitar umur 16 hingga 18 tahun telah bernikah di negeri Kelantan. Adakah ibu bapa menyedari bahawa anak-anak ini sepatutnya berada dibangku sekolah atau di pusat-pusat pengajian untuk belajar mencari ilmu?
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata dalam tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak 546 pasangan bawah umur membuat permohonan untuk berkahwin.
“Daripada jumlah itu, 533 permohonan diluluskan, hanya 13 ditolak. Ini satu pencapaian yang baik,” katanya pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan wajar sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002, selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak serta mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.
Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur akan dinilai melalui penelitian menyeluruh merangkumi aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.
Soal kemampuan juga diambil kira berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai ibu bapa.
Walau apapun alasannya, masa depan anak-anak perlu diambil kira. Bukan semua anak-anak yang berkahwin di usia muda berjaya menyelesaikan masalah mereka atau masalah ibu bapa mereka.
Apa yang membimbangkan adalah, sekiranya berlaku penceraian atau ditinggalkan oleh suami yang juga muda dan tidak matang, bagaimana dengan isteri muda yang mentah mahu meneruskan kehidupan tambah pula jika sudah mempunyai anak-anak?
Sekiranya isteri yang berusia muda tersebut tidak lagi mempunyai ibu bapa, kemana hendak dibawa nasibnya? Sekiranya mempunyai pelajaran, sudah tentu tidak akan menghadapi masalah.
Tetapi jika tidak mempunyai apa apa kelayakan sudah tentu akan menjadi masalah untuk mendapat pekerjaan yang baik. Begitulah sebenarnya gejala sosial bermula. Kebanyakannya mengadu nasib di kelab malam atau lorong sebagai GRO atau pelacur?
#PrezCom