Kuala Lumpur, 23 November 2023, 16:32 – PENYAKIT barah semakin dikaitkan oleh pakar-pakar sebagai antara gejala penyakit berpunca daripada masalah kurang tidur. Selain penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis (diabetes), berat badan berlebihan (obesiti) dan kemurungan, anda juga perlu berdepan dengan bahaya barah.
Menurut satu lagi kajian terbaru oleh ResMed mengenai trend tidur global, antara lapan daripada 10 responden melaporkan satu atau lebih gejala gangguan tidur yang berkaitan dengan mutu tidur mereka. Penyebab paling biasa tidur terganggu adalah gejala apnea tidur obstruktif (81 peratus).
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal kanser, mereka yang tidur kurang daripada enam jam setiap malam menghadapi risiko barah 41 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidur enam hingga lapan jam setiap malam. Individu yang tidur siang, menghadapi risiko barah 60 peratus lebih tinggi daripada orang-orang yang tidur biasa pada malam hari. Begitu juga mereka yang tidur kurang dari 7 jam, akan menghadapi secara menyeluruhnya peratus barah iaitu 69 peratus berbanding dari tidur biasa.
Tidur yang kurang baik boleh meningkatkan pengeluaran hormon tekanan badan dan menyebabkan tekanan oksidatif yang merosakkan tisu dan sel. Ia kemudiannya boleh membawa kepada keradangan kronik dan akhirnya, mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk sel-sel barah terus membiak. Masa tidur merupakan tempoh apabila pembaikan sel DNA berlaku dan gangguan tidur boleh membawa kepada pengumpulan mutasi genetik, yang menggalakkan pertumbuhan barah. Selain itu, tidur yang kurang baik juga menyebabkan imuniti terjejas kerana sistem kekebalan kita menjadi kurang berkesan dalam mengesan dan menghapuskan sel-sel barah,” kata Dr Wong.
Dalam kajian 10 tahun di Taiwan, risiko barah hati dan paru-paru meningkat dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan tidur yang tidak dikaitkan dengan masalah apnea. Selain daripada masalah kurang tidur, pendedahan kepada cahaya waktu malam juga boleh meningkatkan risiko barah payu dara. Persoalan bahawa gejala terlalu banyak tidur boleh meningkatkan bahaya barah, masih lagi perkara yang tidak difahaminya sepenuhnya.
Terapi barah selalunya ditetapkan dengan penggunaan ubat anti-loya atau anti-alergi, kata Dr See Hui Ti, perunding kanan Jabatan Perubatan Onkologi Pusat Barah Parkway. Ubat-ubatan tersebut, katanya boleh dikaitkan dengan insomnia atau mungkin juga menjejaskan tahap hormon yang boleh mengakibatkan insomnia. Kadangkala, kemoterapi boleh menjejaskan selera makan pesakit dan fenomena ini dikaitkan dengan tidur yang kurang baik, kata Dr See.
“Penyelesaiannya? Kadang-kadang, saya mengesyorkan akupunktur atau perubatan tradisional Cina. Kadangkala, kita juga bekerjasama dengan pakar psikologi dan psikiatri untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kemurungan yang mendasari,” katanya lagi. Dalam hal begini, pesakit digalakkan untuk mengongsi isu-isu mereka dengan kaunselor dalam menentukan sebarang kebimbangan asas yang mungkin menjejaskan mutu tidur mereka.
#PrezCom