Kuala Lumpur, 20 November 2023, 16:29 – DI antara isu yang masih menimbulkan kekeliruan adalah siapa bertanggungjawab apabila berlaku kerosakan pada rumah sewa. Apa yang perlu dibuat dalam keadaan sebegini adalah berbeza dari sudut tuan rumah dan penyewa. Ini dapat dilihat melalui Laporan Pasaran Hartanah Malaysia Property Guru bagi suku keempat 2021 yang menunjukkan peningkatan ketara Indeks Permintaan Sewa di negara ini dengan kenaikan 30.53 peratus suku ke suku dan 57.91 peratus tahun ke tahun. Sebarang isu yang berkaitan dengan rumah sewa merupakan isu yang dekat dengan rakyat Malaysia. Ini kerana ramai rakyat tempatan yang tinggal di rumah sewa, malah, permintaan bagi hartanah tersebut juga meningkat.

Disebabkan permintaan untuk menduduki rumah sewa terlalu tinggi, ramai pemilik rumah sanggup mengubah suai untuk menambah bililk supaya boleh disewakan kepada ramai penghuni. Ada pemilik yang mengubah suai rumah mereka sendiri untuk tujuan itu dan ada pemilik yang tidak tahu bahawa rumah mereka diubah suai sedikit untuk tujuan penyewaan oleh pihak ketiga atau agen yang dilantik untuk mencari penyewa buat rumah mereka atau pun penyewa sendiri yang mengubah suai rumah tersebut tanpa diketahui oleh tuan rumah. Selain itu, terdapat kerosakan yang dilakukan oleh penyewa dan lari begitu sahaja tanpa mahu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

Di dalam situasi yang agak mengelirukan mengenai pihak mana yang perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu terhadap rumah yang disewa. Beberapa perkara perlu dimetrai atau dirujuk kembali sebelum penyewaan dibuat. Di antaranya adalah:

A) Semak Perjanjian Sewa Rumah

Perjanjian sewa rumah atau perjanjian penyewaan (tenancy agreement) adalah kontrak yang sah dari segi undang-undang di antara penyewa dan tuan rumah. Perjanjian ini merangkumi kesemua aspek penting, termasuklah tanggungjawab tuan rumah dan penyewa dalam kerja-kerja berkaitan pembaikian kerosakan. Tuan rumah perlu menerangkan kepada penyewa dengan jelas dan secara bertulis mengenai tanggungjawab masing-masing seperti yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut. Hal ini penting bagi memastikan kedua-dua belah pihak mempunyai kefahaman yang sama tentang batas dan tanggungjawab mereka.

Walaupun tanggungjawab kerosakan dijelaskan di dalam perjanjian sewa rumah, secara amnya, pihak tuan rumah bertanggunjawab terhadap sebarang kerosakan yang disebabkan ‘wear and tear’, rosak akibat dimamah usia, apa-apa kerosakan yang melibatkan keselamatan nyawa penyewa, dan harta benda rumah sewa. Segala persiapan dan penyelenggaraan yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan penyewa harus dilakukan sebelum penyewa masuk. Sekiranya berlaku kerosakan dibawah tanggungjawab tuan rumah yang berlaku ketika penyewa sudah menghuni rumah tersebut, tindakan berikut boleh dilakukan:

1. Minta penyewa perbaiki sendiri kerosakan tersebut terlebih dahulu dan kemudian tuntut semula wang daripada tuan rumah.
2. Tuan rumah membaiki sendiri kerosakan tersebut.
3. Tunggu sehingga tamat tempoh sewaan (sekiranya tidak serius).

Tuan rumah juga perlu menyenaraikan secara bertulis sebarang peralatan atau perabot yang disediakan di dalam rumah sewa tersebut. Seterusnya, sebelum penyewa masuk untuk menghuni, tuan rumah perlu mengambil rekod bergambar atau video bagi keadaan dalaman dan semua barangan yang ada di dalam rumah tersebut. Ini diperlukan bagi menentukan sama ada sebarang perubahan atau kerosakan berlaku ketika penyewa sudah menghuni rumah tersebut.

B) Apa Perlu Dibuat oleh Penyewa?

Kerosakan yang berada di bawah tanggungjawab penyewa dinyatakan di dalam perjanjian penyewaan. Secara amnya, penyewa bertanggungjawab dalam pembaikan kerosakan-kerosakan kecil dan kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dan kelalaian mereka. Ini termasuklah:

1. Kerosakan disebabkan haiwan peliharaan.
2. Mentol/bulb lampu terbakar.
3. Extension elektrik rosak.
4. Perkakas dapur atau elektrik kecil rosak.
5. Karpet kotor.
6. Bau rokok atau lain-lain bau di dalam rumah.
7. Kaki kerusi/meja patah.

Kerosakan-kerosakan yang diabaikan dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang laporan kerosakan dibuat, yang akhirnya membawa kepada kerosakan yang lebih besar. Seperti juga tuan rumah, pihak penyewa perlu mempunyai rekod bergambar atau video bagi keadaan dalaman dan semua barangan yang ada di dalam rumah tersebut sebelum, semasa, dan selepas menghuni rumah tersebut.

C) Tuntutan Undang-Undang

1. Tuan rumah boleh meminta penyewa untuk menanggung kos pembaikian sekiranya ia dinyatakan secara jelas dalam perjanjian sewa rumah bahawa sebahagian pembaikian kerosakan adalah di bawah tanggungjawab penyewa.
2. Pihak tuan rumah boleh menggunakan deposit sekuriti sekiranya pihak penyewa gagal atau tidak bersetuju untuk menampung kos pembaikan tersebut.
3. Sekiranya kos pembaikan kerosakan tersebut melebihi deposit sekuriti, tuan rumah boleh failkan tuntutan melalui mahkamah tentang kos-kos yang anda terpaksa tanggung disebabkan penyewa.
4. Bagi tuntutan kecil tidak melebihi RM5,000, ia boleh dibuat di Mahkamah Tuntutan Kecil melalui Aturan 93 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 – Tatacara Tuntutan Kecil.
5. Bagi tuntutan yang lebih besar, tuan rumah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam.

D) Kepentingan Komunikasi

Kebanyakan isu pertikaian berkaitan siapa yang patut perbaiki sesuatu kerosakan boleh diselesaikan dengan mudah melalui komunikasi yang baik antara penyewa dan tuan rumah dan perjanjian hitam putih melalui kontrak sewa rumah. Terma-terma dalam sebuah perjanjian sewaan sebenarnya boleh dirunding maka kedua-dua belah pihak, baik penyewa mahupun tuan rumah perlu berkomunikasi dengan baik mengenai apa yang perlu dimasukkan di dalam perjanjian tersebut. Mereka juga boleh berunding dengan pihak peguam untuk menilai perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.

#PrezCom