Kuala Lumpur, 18 November 2023, 5.34 petang – PERANAN golongan muda dalam memimpin organisasi tidak harus diletakkan dalam kelompok pertubuhan belia semata-mata tetapi di semua organisasi. Tambahan pula, Dewan Rakyat pada 3 Julai 2019 telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Situasi itu sekali gus memberi ruang kepada golongan remaja untuk mengasah bakat sebagai bakal pemimpin negara dimasa akan datang. Pemimpin yang ada terlalu lama sebagai pentadbir. Untuk itu perlunya barisan pemimpin muda yang ada sekarang untuk mengambil alih pentadbiran bagi melahirkan idea dan corak pentadbiran mengikut peredaran zaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa anak muda lebih mahir dalam bidang ini kerana mereka membesar dalam era kemajuan teknologi. Inilah dunia mereka, sedangkan generasi terdahulu membesar dan hidup dalam dunia yang sangat berbeza. Maka, adakah ini bermakna anak muda sudah cukup matang dan bersedia untuk mentadbir negara sepenuhnya? Kalau dilihat dari peredaran masa, dunia hari ini amat berkembang pesat. Kemurungan politik negara hari ini memerlukan campur tangan golongan pemimpin muda. Persoalannya, bagaimana mereka menempatkan diri dalam kelompok politik tradisional yang didominasi oleh kelompok pemimpin generasi ‘ lewat usia? Sejak era 80an, Malaysia diterajui wajah-wajah sama dan tiada tanda-tanda mereka mahu berundur. Mantera lama mengatakan ‘pemuda adalah harapan masa depan negara’ tetapi tidak diberi tempat kepada generasi muda. Adakah golongan veteran ini tidak yakin dengan generasi muda yang mereka didik?

Terdapatkah risiko kepada negara sekiranya golongan muda diberi peluang memimpin sekarang? sedangkan mereka jugalah yang akan mewarisi negara ini nanti. Kita sudah ambil pelbagai risiko sebelum ini, dan lihatlah bagaimana keadaan kita di Malaysia sekarang. Mengapa sampai hari ini perlu ada generasi veteran yang wajib memimpin negara? Megapa masih lagi mengharapa pemimpin yang telah lewat usia menerajui negara? Persepsi ini sebaiknya dibuang. Golongan veteran seharusnya menjadi pemerhati kepada pemimpin muda untuk mentadbir. Hanya perlu dinasihatkan sahaja supaya tidak terlalu mengikut hati apabila membuat keputusan.

Persepsi bahawa orang muda tiada pengalaman memimpin sangat patut ditinggalkan. Pemimpin lama dahulu pun diberi laluan untuk mentadir negara, maka begitulah seharusnya laluan diberi kepada generasi muda sekarang. Jangan cepat menduga bahawa mereka tidak mampu mentadbir negara. Sedangkan peluang belum pun diberi selayaknya kepada mereka. Tenaga mereka kuat, idea mereka kreatif dan bernas. Mereka mahir menggunakan teknologi untuk mengumpul pengikut. Ini adalah sejumlah kualiti yang sangat penting dan selari dengan keadaan dimasa ini. Golongan muda, yakni pemilik kepada era ini semestinya punya formula tersendiri untuk memakmurkan negara, lebih-lebih lagi dalam era pandemik global.

Berkaitan usia perdana menteri Malaysia semasa lantikan. Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah PM paling muda dilantik iaitu sewaktu usia 48 tahun. Lihat sahaja permordenan yang dibawa oleh beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Permordenan hanya boleh dibawa oleh pemimpin muda negara. Jika Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang begitu muda mampu menjadi pemimpin negara yang mempunyai idea yang bijak dan morden, sudah tentu barisan pemimpin muda hari ini mampu melakukan perkara yang sama. Malah mungkin lebih baik dari itu. Setiap pakatan politik di Malaysia perlu mula mengetengahkan barisan calon pemimpin muda yang lebih segar, berpengaruh, matang dan sopan, yang berkerja keras menyantuni rakyat majmuk, serta serius memikirkan soal membangunkan negara. Rakyat Malaysia perlu memahami keperluan melangkaui isu hierarki, dengan mengutamakan kualiti berbanding senioriti. Covid-19 tidak kunjung reda, dan ini menuntut kepimpinan muda yang jujur, kreatif dan berani mengambil risiko.

Kita ada nama-nama besar pemimpin muda yang selayaknya diberi peluang. Sekadar menyebut beberapa nama, antaranya Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Shahril Hamdan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Dr. Maszlee Malik, Rafizi Ramli, Ahmad Fadhli Shaari dan Afnan Hamimi Taib Azamuddin Tidak boleh diketepikan juga bakat dan pengalaman para pemimpin NGO belia seperti Jufitri Joha (presiden MBM) dan Muhammad Faisal Abdul Aziz (presiden ABIM). Malaysia tidak ketandusan stok pemimpin muda. Pergelutan politik semasa yang berpanjangan, pada zaman ini sedang bergerak menuntut penerimaan terhadap golongan muda sebagai pemimpin bagi menggalas pelbagai tanggungjawab besar seperti memegang jawatan tertinggi dalam parti-parti politik, jabatan kerajaan dan kementerian, bahkan kerusi Perdana Menteri. Sistem politik tradisional tidak bersedia menerima gerakan sebegini. Apakah sebabnya masih tidak mahu melepaskan pentadbiran kepada pemimpin muda? Adakah kerana masih inginkan kuasa dan mungkin juga tamak?

#PrezCom