Kuala Lumpur, 15 November 2023, 17:07 – NAMPAK serba indah, cantik dan mewah. Hidup sebagai individu yang glamour dan terkenal di seluruh negara malah ada yang terkenal sehingga ke peringkat dunia. Mempunyai pengikut dan peminat yang ramai, sangat disayangi dan tidak kurang yang membenci.

Golongan yang menyayangi akan sentiasa memandang tinggi dan hormat kepada artis yang diminati tetapi golongan yang membenci pula akan sentiasa mencari kelemahan dan keburukan artis yang mereka tidak suka. Bukan sahaja membenci malah turut mencemuh personaliti artis tersebut di dalam media sosial terutamanya. Begitulah kehidupan anak seni. Bukan sahaja disanjung, tetapi juga adakala dicemuh dan tewas dibelenggu tekanan perasaan yang amat dalam. Tekanan yang dihadapi bukanlah dalam masa yang singkat malah ia berlarutan sehingga mengganggu kesihatan badan dan mental para artis seperti menjadi kemurungan, takut, resah dan sentiasa gelisah.

Isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat kini dilihat semakin membimbangkan. Begitu juga para artis yang tidak dapat lari daripada masalah sekiranya berdepan masalah rumit yang melampau. Antara masalah psikologi yang sering dialami golongan selebriti ialah narsis, depresi, bipolar, mania dan kecelaruan identiti. Keadaan kesihatan bukanlah sesuatu yang boleh dijangka kelangsungannya. Sebagai selebriti terutamanya pelakon, tentunya waktu bekerja mereka memerlukan komitmen tenaga yang sangat tinggi. Namun, apabila muncul sakit-sakit kronik yang sedikit memberi kesan kepada tenaga mereka sebagai pelakon, ada dalam kalangan mereka mula dianaktirikan. Itu juga membuatkan ramai pelakon tanah air yang lebih rela ‘menahan sakit’ daripada berkongsi masalah itu demi mencari sesuap nasi.

Kebelakangan ini, ramai artis yang mengaku mereka murung dan anxiety. Walaupun populariti memeluk erat nama-nama besar di dalam industri, tetapi tidak cukup untuk menyubur kesihatan mental. Ramai sahaja artis yang mengalami masalah kesihatan sama cuma mungkin mereka tidak cukup berani untuk mengakui. Takut nanti lebih banyak kecaman dan sindiran yang diterima. Lihat sahaja industri seni Korea Selatan yang semua sedia maklum begitu ‘kejam’. Ramai yang mengambil keputusan menamatkan riwayat diri kerana tertekan. Jadi kita jangan buat main soal murung ini. Pihak produksi semestinya mahukan pelakon yang sihat untuk bekerja. Tetapi, benda berkaitan penyakit ini, tiada sesiapa yang minta pun.

Masyarakat perlu meningkatkan kepentingan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental, di samping mengelakkan tanggapan serong terhadap individu yang menghidap penyakit itu. Menurut Pegawai Psikologi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Norhaidah Asma Mohd Hasim, tanggapan yang negatif menjadikan mereka yang mempunyai masalah terkait kesihatan mental dipinggirkan daripada mendapat bantuan sewajarnya. Jangan memandang rendah dan menghina pesakit mental yang ada di kalangan kita. Pesakit mental memerlukan perhatian disamping menerima rawatan daripada doktor pakar. Bimbing mereka dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka supaya mereka dapat merasakan bahawa mereka sebenarnya disayangi dan tidak pernah dipinggirkan.

#PrezCom