Kuala Lumpur, 15 November 2023, 12:51 – SETIAUSAHA Agong DAP, Anthony Loke berkata, pendedahan yang dibuat oleh Tun M dalam rancangan “Keluar Sekejap” yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan baru-baru ini menunjukkan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak ikhlas dalam bekerjasama sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan. Perkara tersebut amat berlainan sekali dengan niat baik DAP yang mahu bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi membawa pembaharuan di dalam pentadbiran negara selepas PRU-14 pada bulan Mei 2018.
Menurut Loke, DAP telah mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen PH untuk mendapatkan keputusan bagi tujuan kerjasama tersebut. Pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara dan agak keberatan juga untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir tetapi kemudiannya bersetuju memandangkan perlunya membuat perubahan pada negara dengan mengabungkan kerjasama antara parti komponen bagi mencapai objektif sepenuhnya. Persetujuan telah dicapai dengan tiada bantahan daripada mana-mana parti komponen.
Pada PRU-14, Mei 2018, Barisan Nasional di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib Tun Razak telah berjaya ditumbangkan buat pertama kalinya dan menjadi sejarah negara. Strategi yang dirancang telah mendatangkan hasil. Namun selepas pembentukan kerajaan baharu, ianya tidak dapat mencapai apa yang dirancangkan dan ia amat dikesali.
Apa yang disebut oleh Tun Mahathir kepada hos Shahril Hamdan di dalam rancangan podcast Keluar Sekejap mengenai menggunakan DAP untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dan pada pendapat beliau DAP juga mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri tersebut. Menurut Anthony, Tun Mahathir dilihat tidak konsisten dalam berurusan dengan DAP dan PAS dengan mengkritik kedua–dua parti berkenaan tetapi ada ketika boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencapai sebarang persetujuan.
Tun Mahathir sememangnya ada membuat kerjasama dengan DAP ketika itu bagi menewaskan Dato’ Sri Najib Razak. Di samping itu, ramai menaruh harapan agar beliau menggunakan peluang kedua untuk membawa pembaharuan dan kemajuan kepada negara dan disebabkan itu pada 2018 adanya Harapan Malaysia Baharu. Anthony dalam masa yang sama, turut percaya kenyataan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu sewaktu dalam podcast Keluar Sekejap adalah sesuatu yang dimaksudkannya. Bermakna apa yang disebutkan itu mungkin benar. Beliau berterus terang menggunakan DAP pada ketika itu.
Anthony bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut memandangkan DAP pada waktu itu memang membuat ‘satu keputusan yang perlu’ bagi parti dan juga PH. Kita mengharapkan Tun M dengan usia begitu lanjut beliau boleh berubah (ketika itu) bukan saja nak bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) tetapi juga untuk membawa kepada pembaharuan. Anthony menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Tun M itu membuktikan beliau sebenarnya tidak ikhlas bekerjasama membentuk pentadbiran baharu bersama DAP.
#PrezCom