Kuala Lumpur, 11 November 2023, 6.30 petang – MENERUSI satu kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS telah mengesahkan berlaku pencemaran di sebuah tangki air kolej kediaman di sini, yang membekalkan sumber air telaga tiub. Pengurusan universiti itu menjelaskan pencemaran berkenaan dikesan selepas siasatan berhubung satu video tular penemuan ulat dalam tangki air yang didakwa berlaku di kampusnya.

Pihak UMS mengambil maklum sebuah video yang dimuat naik di media sosial berkaitan pencemaran tangki air berkenaan. Apa yang tersebar melalui klip video itu, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan. Hasil dari siasatan tersebut Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS.

Walau bagaimanapun ia tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebagai sumber utama kegunaan harian pelajar. JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat dan juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS.

Dalam masa yang sama, pihak pengurusan UMS telah berusaha untuk memastikan kesihatan pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran serta kehidupan seharian mereka sepanjang berada di kolej kediaman.

Sebelum itu, tular di media sosial yang memaparkan keadaan menjijikkan apabila tangki berisi air dipenuhi ulat dipercayai disebabkan terdapat bangkai monyet didalamnya. Pemilik akaun mendakwa terpaksa menggunakan kuasa tular berhubung isu air yang melanda di universiti tersebut. Amat membimbangkan akan kesan dari pencemaran air tersebut terhadap para pelajar dimasa akan datang. Sebaik-baiknya UMS beri sepenuh perhatian dan pemantauan rapi terhadap keadaan pelajar mulai dari hari kejadian bimbang akan berlaku kesan sampingan yang serius terhadap mereka.

#PrezCom