Kuala Lumpur, 9 November 2023, 10.37 pagi – HAKIM Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar itu melampaui keraguan munasabah. Presiden Muda itu didapati bersalah diatas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya dan bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta. Salah satu kesalahan yang dilakukan oleh Saddiq adalah memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 hingga 19 Jun 2018.

Selain dari itu Saddiq juga didapati bersalah menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut. Bagi kesalahan ini, Saddiq boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Hakim Azhar akan mendengar rayuan Syed Saddiq dan hujahan kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman. Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan. Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

#PrezCom