Kuala Lumpur, 8 November 2023, 16:30 – PERDANA MenteriI Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, beliau akan mengumumkan skim gaji baru untuk penjawat awam sebelum akhir tahun hadapan. Beliau berkata beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 agar skim gaji baru itu dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan. Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan tidak ada kajian secara menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam yang dilakukan lagi.
Perdana Menteri berkata lagi, selama ini dasar yang digunakan untuk penyelarasan gaji hanya untuk 10 tahun, namun sekarang ianya sudah menjangkau 12 tahun. Untuk itu, beliau telah mengumumkan kajian SSPA dilakukan. Kerajaan Perpaduan telah merencanakan untuk mengubah keadaan ekonomi Malaysia supaya mempunyai anjakan. Ini dilakukan untuk mengangkat ekonomi Malaysia supaya menjadi lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Di dalam Pembentangan Belanjawan 2024 yang dibacakan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober yang lalu, beliau telah mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen memandangkan kajian itu mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan. Bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekaligus pada akhir Februari tahun hadapan.
Perdana Menteri telah mengumumkan kesemua perkara ini sewaktu menghadiri majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Putrajaya malam tadi. Turut sama di dalam majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Mampu Datuk Rodzi Md Saad.
#PrezCom