Kuala Lumpur, 8 November 2023, 15:50 – PRESIDEN Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berpendapat, langkah intervensi yang boleh diambil adalah dengan menaik taraf penternak di kategori kedua kepada kategori pertama. Apabila kategori pertama lebih banyak, ia akan tingkatkan persaingan dan tidak akan ada lagi kartel. Menurutnya lagi, penternak dalam negara mempunyai empat kategori iaitu ‘super’ besar, sederhana, kontrak dan mikro yang saling bergantung antara satu sama lain.

Pada Wacana Sinar Siri ke-419 ‘Tarik Subsidi Ayam: Apa Kesan Kepada Rakyat?’ dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa, mencadangkan supaya kerajaan menaik taraf penternak sederhana kepada “super” iaitu taraf yang lebih besar bagi meluaskan persaingan dan pasaran untuk menghapuskan kartel. Ini perlu dilakukan bagi menghapuskan penguasaan kartel terhadap pasaran ayam negara. Kategori kedua atau sederhana memainkan peranan di peringkat negeri tetapi tidak mampu untuk naik ke kategori pertama kerana kekurangan modal, mesin, tanah dan sebagainya.

Pendapatan rakyat perlu diambil kira setiap masa kerana apabila perubahan harga berlaku, ia akan menjadi beban kepada rakyat sekiranya tidak ada plan kotigensi terancang untuk mengelakkan mereka daripada panik dan terkejut. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan kerajaan perlu mengambil langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bekalan ayam akan terputus atau perkara lain yang tidak diduga.

Mohamad Yusrizal berasa amat bersyukur kerana kerajaan telah melaksanakan apungan harga walaupun sebelum ini, kita tidak setuju dengan harga yang dibuat secara tergesa-gesa. Tetapi hasil usaha keras kerajaan melalui kementerian berkaitan yang berbincang bersama pihak industri harga ayam kekal tiada kenaikan dan peniaga kini dilihat akur menjual ayam pada harga rendah.

#PrezCom