Kuala Lumpur, 8 November 2023, 20:35 – KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan memaklumkan, pengeluar, pemborong dan peruncit akan dikenakan tindakan yang keras dengan penggantungan lesen jika didapati menjual benih padi sah melebihi harga maksimum dan melebihi kouta yang diberi. Harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM31 setiap kampit 20kg jualan benih di pintu kilang manakala harga maksimum RM32 per kampit 20kg termasuk pengangkutan. Harga tersebut adalah harga yang dijual kepada peruncit.

Jualan daripada peruncit kepada pesawah pula dijual tidak melebihi harga maksimum iaitu RM35 per kampit 20kg. Menurut KPKM, hanya pengeluar yang dilantik oleh kerajaan sahaja yang boleh membekalkan benih padi yang sah. Ia termaktub di dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Bilangan 1/2021: Kawalan Kerajaan Ke Atas Pengeluaran Dan Pemasaran Benih berkuatkuasa 11 November 2021. Ini merupakan mekanisme kawalan ke atas pengeluaran dan pemasaran benih padi sah. “Kegagalan untuk melaksanakan arahan ini dan mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan,” kata KPKM.

Pengerusi badan bertindak, Che Ani Mat Zain berkata kerajaan digesa menyalurkan subsidi BPS terus kepada pesawah bagi mengatasi isu kelewatan agihan benih padi. Perkara ini telah berlarutan sejak dulu berpunca daripada manipulasi pihak pengeluar benih padi sah (BPS) yang menunggu subsidi daripada kerajaan. Pengeluar akan menahan bekalan BPS yang seharusnya diterima pesawah mengikut jadual ditetapkan sehingga bayaran subsidi diterima mereka. “Subsidi benih padi itu jangan diberi kepada pembekal, mereka ini hanya berebut mahukan subsidi, jadi adalah lebih baik subsidi ini terus diberikan kepada petani dan kerajaan yang telah ditetapkan harga silingnya,” tambah beliau lagi.

Apabila subsidi BPS diterima pesawah, pembekal akan bersaing untuk keluarkan benih padi yang lebih berkualiti dengan harga berpatutan selain dapat diagihkan mengikut jadual tanaman. Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (BPS) di semenanjung. Selain itu, Che Ani turut mencadangkan peranan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras diperkasakan bagi mengelak pesawah terus dipermainkan apabila tiba musim menabur benih padi.l

Che Ani mengulas lagi, bahawa pihaknya menyertai banyak mesyuarat dengan pelbagai agensi termasuk Bahagian Kawal Selia Padi, tapi akhirnya tiada kesudahan dan tindakan yang tegas. “Kasihan pada pesawah yang banyak menanggung kerugian dengan kos menanam padi yang semakin meningkat menyebabkan pesawah semakin tertekan,” katanya.

#PrezCom