Kuala Lumpur, 6 November 2023, 15:30 – TSUNAMI adalah satu perkataan yang diambil daripada bahasa Jepun yang bermaksud ‘Ombak Laut di Pelabuhan’. Ia adalah fenomena semula jadi yang terdiri daripada satu siri ombak atau gelombang yang terjadi apabila air di dalam tasik atau laut dengan pantas berubah kedudukan dalam skala yang besar. Gempa bumi, tanah runtuh, letusan volkano dan hentaman meteorit, semuanya mempunyai potensi untuk mencetuskan tsunami. Kesan daripada tsunami boleh berlaku dengan pantas daripada tidak dapat dilihat sehingga menyebabkan kemusnahan besar berdasarkan maklumat daripada Wikipedia.

Perlu diketahui apakah tanda-tanda kehadiran tsunami:

1. Tanah Bergetar dan Suara Gemuruh Ombak yang Tidak Pernah Didengari.

Gempa bumi yang berpusat di dalam laut, atau keruntuhan tanah di permukaan bumi atau di bawah laut akan menyebabkan terjadinya gangguan di dalam air atau ‘underwater disturbance’. Pada kekuatan dan kedalaman tertentu, kedua-dua peristiwa tersebut dapat mencetuskan tsunami. Jika anda berada berhampiran dengan laut dan merasakan tanah bergetar atau mendengar suara gemuruh ombak yang tidak pernah didengari sebelum ini, terdengar seperti suara pesawat jet atau kereta, segeralah berlari ke atas tanah yang lebih tinggi dan jauhkan diri daripada lembah atau sungai.

2. Air Laut yang Surut Dengan Mendadak.

Para ahli Geologi melaporkan bahawa tsunami yang datang menghampiri, akan didahului oleh surutnya permukaan air laut secara tiba-tiba. Fenomena ini menunjukkan akan berlaku satu gerak gempa yang besar atau ‘Megathrust’, iaitu gerakan naik daripada bawah permukaan bumi yang besar yang terdapat di dalam laut. Misalnya ketika gerakan samudera bergerak ke bawah dan menimbulkan gempa bumi. Kekuatan dorongan ke atas seperti “gumpalan air” yang muncul daripada bawah permukaan air laut menyebabkan air bergulung turun daripada sisi-sisi tanah “gumpalan air” tersebut menciptakan gelombang besar yang cepat, sepantas kapal terbang. Gelombang tersebut akan bergerak melintas lautan, walaupun tidak terlihat di permukaan dan ketika gelombang menghempas laut, kekuatan gempa daripada kerak bumi itu akan mendorong gelombang hingga mencapai puluhan meter ke udara. Tidak perlu ditunggu lagi, larilah ke dataran yang lebih tinggi jika anda melihat air laut surut begitu cepat dan secara tiba-tiba.

3. Binatang Ada Kemampuan Merasakan Bahaya yang Akan Datang.

Kepercayaan bahawa haiwan memiliki “six sense” telah ada selama berabad-abad. Sebelum gempa bumi terjadi dan ombak raksasa menghantam garis pantai, anjing peliharaan menolak untuk meninggalkan rumah, gajah meniupkan terompet mereka dengan kencang dan berlari ke dataran yang tinggi, kelawar terbang melarikan diri dan flamingo meninggalkan dataran rendah. Kemungkinannya akan berlaku sesuatu yang dahsyat yang dapat dirasai oleh haiwan. Mereka memiliki pancaindera yang lebih tajam serta deria rasa yang lebih besar terhadap persekitaran. Haiwan lebih cepat bertindak menyelamatkan diri sekiranya merasa sesuatu yang berbahaya menghampiri. Penyelidikan mengatakan bahawa haiwan dapat merasa getaran dan perubahan elektromagnetik di atmosfera, yang mungkin tidak dapat dirasai oleh manusia.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tindakan penyelamatan yang boleh dilakukan menjelang terjadi tsunami. Tiada sesiapapun yang boleh menjangkakan terjadinya tsunami. Namun, jika anda merasakan atau melihat dan mendengar tanda-tanda yang disebutkan di atas, maka yang perlu anda lakukan adalah segera memberitahu orang-orang di sekitar, jangan menunggu peringatan amaran tsunami. Persiapkan diri untuk mencari tempat yang selamat. Menjauhi daerah pesisir pantai dan mencari dataran atau bangunan kukuh yang lebih tinggi. Ingatlah bahawa tsunami merupakan serangkaian gelombang dan gelombang yang pertama mungkin bukan gelombang yang paling akhir. Bahaya tsunami mungkin berlangsung berjam-jam lamanya setelah datangnya gelombang pertama.

Menjauhi sungai yang berada berhampiran dengan kediaman kita. Ombak tsunami boleh bergulung hingga ke sungai dan aliran air lainnya yang mengarah ke laut. Menyimpan barangan penting di dalam beg dan bekas bagi persediaan untuk keadaan darurat adalah hal yang penting untuk dilakukan. Isi beg tersebut dengan persediaan ubat-ubatan, air, baju, serta makanan yang cukup untuk 72 jam. Pastikan juga anda melengkapi persiapan diri dengan memiliki insuran kecelakaan. Tsunami, gempa bumi, badai dan runtuhan tanah serta bencana alam yang lain terjadi tanpa diduga.

#PrezCom