Kuala Lumpur, 6 November 2023, 10:56 – KETUA Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, kes rogol yang membabitkan mangsa bawah umur meningkat 31.7 peratus kepada 108 kes dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jenayah bunuh meningkat daripada 6 kes kepada 9 kes manakala jenayah curi kereta pula meningkat daripada 97 kes tahun lalu kepada 119 kes. Walau bagaimanapun, statistik keseluruhan jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus atau pengurangan 164 kes dengan rekod berjumlah 1,688 kes berbanding 1,852 kes sebelum ini.

Untuk kategori samun berkumpulan serta bersenjata pula turun kepada 38 kes berbanding 57 kes, manakala samun bersenjata api sebanyak 51 kes berbanding 55 kes sebelum ini. Bagi kategori jenayah kekerasan melibatkan kecederaan turun kepada 122 kes daripada 138 kes. Kategori jenayah harta benda, hanya curi kereta meningkat manakala curi motosikal menurun kepada 472 kes daripada 497 kes. Curi van, lori dan jentera berat turun daripada 12 kes kepada lapan kes dan pecah rumah mencatat 368 kes berbanding 401 kes. Katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Ahad.

Kes-kes jenayah seksual yang berlaku di negeri Kelantan banyak melibatkan individu di bawah umur dan pelajar sekolah. Untuk itu, pemerhati khusus akan diberikan untuk kes seperti ini. Bagi memberi tumpuan kepada kes yang melibatkan remaja bawah umur dan pelajar sekolah, pihak polis kontinjen akan membincangkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melancarkan Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah dalam pembentukan adab, akhlak dan integriti pelajar.

Menurut Muhamad Zaki, pihak polis mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang menjadi pemerhati dalam usaha mencegah perlakuan kes jenayah membabitkan pelajar. “Ada mangsa jenayah seksual yang diambil keterangan, tidak benar-benar tahu akan akibat kesalahan itu dan ini. Ia menjadi tanggungjawab kepada semua untuk memberikan pemahaman serta pengetahuan supaya mereka menjauhi jenayah ini,” kata beliau.

Acara lain di dalam Perhimpunan Bulanan tersebut, termasuk menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota yang cemerlang dan ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep). Antara penerima sijil adalah, Inspektor Azman A Radzi dari Cawangan Siasatan, Perundangan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan Ketua Biro Industri Kecil Perkep Kelantan, Mariana Ramli @ Hashim.

#PrezCom