
Kuala Lumpur, 6 November 2023, 7.44 malam – SECARA keseluruhan, seramai 810 mangsa termasuk 166 individu lelaki direkodkan menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian. Wanita yang berstatus isteri orang adalah antara 644 mangsa kes penipuan ‘Love Scam’ yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ini. Tidak dinafikan kemungkinan terdapat wanita yang sudah bersuami melayari cinta bersama lelaki lain di dalam talian di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata daripada jumlah 644 mangsa wanita, 307 daripadanya berusia 31 hingga 50 tahun yang secara lazimnya sudah berkahwin. Ada situasi yang mana wanita berstatus isteri orang ini ketika membuat laporan polis meminta pihak kami supaya merahsiakan kes mereka daripada pengetahuan pasangan walaupun ada antara duit digunakan untuk ‘kekasih’ mereka milik suami masing-masing. Ini menyebabkan polis mempunyai dua kerja, satu kerja menyiasat kes penipuan “Love Scam” mereka dan satu lagi adalah memastikan kes itu tidak diketahui oleh suami mereka,” katanya semalam.
Ramli menasihati wanita-wanita yang sedang dilamun cinta bersama lelaki di dalam talian yang tidak dikenali yang kononnya menyintai dan menyayangi mereka secara maya. Akibat dari itu, wanita-wanita ini sebenarnya telah ditipu dan mengalami kerugian wang ringgit sehingga ada yang mencecah jutaan ringgit. Beliau berkata demikian disidang media mingguan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini, hari ini.
Pada 14 Ogos 2023, terdapat laporan seorang pensyarah wanita kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan sindiket panggilan telefon palsu. Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata mangsa berusia 38 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dirinya pekerja syarikat penghantaran barang pada 3 Ogos 2023, kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurut pensyarah wanita itu, terdapat dua bungkusan di pejabat syarikat terbabit yang mengandungi lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad ATM milik orang lain. Panggilan telefon terbabit kemudian kononnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman bagi tujuan semakan dan laporan polis.
Suspek yang menyamar sebagai polis mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram dan pemerdagamgan manusia. Notis waran tangkap dikatakan sudah dikeluarkan terhadap mangsa dan wanita itu diarah membuat pindahan wang kononnya bagi semakan sama ada terbabit atau tidak dalam kes terbabit. Mohd Hasni berkata, siasatan mendapati dari tempoh mangsa dihubungi sehingga kelmarin, wanita itu melakukan transaksi wang sebanyak 25 kali ke atas 16 pemilik akaun berlainan. Mangsa mula menyedari ditipu selepas ditegur oleh suaminya kerana berubah sikap dan kerap memegang telefon bimbit.
#PrezCom