Kuala Lumpur, 4 November 2023 11:24 – MENTERI Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dengan penuh sukacitanya merasmikan pembukaan Lebuh Raya Setiawangsa Pantai (SPE) hari ini. Lebuh raya ini membawa harapan baru bagi penduduk Kuala Lumpur dan pengguna lebuh raya di seluruh Malaysia.

Lebuh Raya Setiawangsa Pantai membentang sepanjang 16.3 kilometer, menghubungkan Setiawangsa ke Kerinchi, dan telah dibuka secara rasmi pada jam 11:59 malam, 3 November 2023. Bahagian awal Lebuh Raya SPE, iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa – Taman Melati) sepanjang 4.4 km, telah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021. Lebuh Raya SPE ini dibahagikan kepada empat seksyen utama, iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3), dan Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4), dengan jarak keseluruhan mencapai 20.7km. Lebuh raya ini menawarkan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat yang memudahkan akses dan keluar masuk kepada pengguna.

Lebuh Raya SPE merupakan sebuah penambahbaikan besar dalam sistem rangkaian lebuh raya di Kuala Lumpur, menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuh Raya SPRINT, AKLEH, DUKE, MRR2, dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kuala Lumpur yang semakin padat.

Menurut kajian yang dilakukan oleh pihak perunding trafik, Lebuh Raya SPE dijangka mampu mengurangkan sehingga 30% masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna, terutamanya pada waktu puncak. Ia akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ke utara, timur, barat, dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur.

Pembukaan sepenuhnya Lebuh Raya SPE ini, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Bandar Raya Kuala Lumpur. Ia juga merupakan usaha penting dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur bagi keselesaan rakyat setempat. Sebagai contoh, tempoh perjalanan dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak, pada waktu puncak dijangka akan mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Lebuhraya SPE adalah satu inisiatif yang selaras dengan Kempen MYJalan yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri, dan agensi kerajaan. Semua pihak diharapkan dapat memahami bahawa jalan raya dan lebuh raya adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, penting bagi semua pengguna untuk menjaga dan menyayangi infrastruktur awam seperti Lebuhraya SPE agar manfaat dan impak positifnya berterusan.

Projek Lebuh Raya SPE telah menerima penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam dua kategori binaan, iaitu “Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction)” sepanjang 2.104 km, dan “Longest Elevated Land Bridge” sepanjang 20.686 km.

YB Menteri Kerja Raya turut menasihati semua pengguna Lebuh Raya SPE agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar atau berswafoto. Tindakan ini boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain. Keselamatan adalah keutamaan, dan dengan pematuhan peraturan, Lebuh Raya SPE akan terus memberikan manfaat kepada semua pengguna.

#PrezCom