
Kuala Lumpur, 3 November 2023, 12:00 – TERSEBAR di media sosial seorang lelaki bertindak menolak seorang anggota penguat kuasa yang sedang mengeluarkan kompaun di atas kesalahan parkir. Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi di Jalan Flora, Taman Flora, Batu Pahat, Johor pada hari Rabu yang lalu. Ia dipercayai berlaku apabila anggota penguat kuasa tersebut sedang mengambil tindakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki kupon parkir semasa meletak kenderaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) pada jam 3.50 petang. Lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 33 tahun itu dilihat menghalang dan menolak penguat kuasa tersebut sehingga terjatuh di atas motosikal sendiri yang berada di sebelahnya. Penguat kuasa tersebut bertindak balas dan berlaku sedikit pergaduhan namun ianya dileraikan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Menurut Ismail lagi, akibat daripada pergelutan itu, kedua-dua pihak mendapat kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). Kes disiasat di bawah 186 dan 153 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Ismail juga mengingatkan orang ramai supaya mengikuti undang-undang jalan raya sambil mengawal emosi ketika memandu dan tidak bertindak ganas apabila dikenakan kompaun atau denda sekiranya melakukan kesalahan. Menurut beliau lagi, penguat kuasa perlu dihormati dan jangan memarahi mereka kerana mereka menjalankan tugas mengikut undang-undang yang ditetapkan,
#PrezCom