Kuala Lumpur, 1 November 2023, 12:00 – MASIH terdapat sejumlah 8.5 juta dos vaksin COVID-19 bernilai RM505 juta telah luput sejak 1 Jun tahun ini. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerugian itu dikatakan berpunca daripada kurangnya sambutan terhadap vaksin penggalak COVID-19. PAC dalam laporannya semasa Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15 (2023) pada Isnin memaklumkan, pengambilan dos penggalak adalah tidak wajib maka segelintir orang yang takut kepada kesan sampingan vaksin membuat keputusan tidak akan mengambilnya ekoran penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Faktor lain yang menyebabkan bekalan vaksin berlebihan adalah, vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi, kata laporan tersebut pada hari Isnin. Berdasarkan kadar penggunaan semasa, jumlah simpanan stok bagi ‘boot cover’ pada 9 Jun tahun ini ialah sebanyak 2.23 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga akhir tahun 2025. Perkara ini telah tercatat di dalam laporan pihak PAC.

Disebabkan kurangnya pengambilan Dos Vaksin Penggalak oleh rakyat, terdapatnya risiko lebihan 850,000 unit stok ‘boot cover’ yang akan luput pada penghujung tahun 2024 iaitu bernilai RM 927,000 jika tidak dapat digunakan dan ini merupakan satu pembaziran yang amat besar. Jumlah simpanan stok bagi protective suit atau coverall pada 9 Jun 2023 ialah 0.64 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga pertengahan tahun 2026 berdasarkan kadar penggunaan semasa.

Masalah lain yang timbul adalah, tidak terdapat perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pembekal Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB). Maka disebabkan itulah, tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi. Disebabkan peranan PLSB tidak begitu jelas, agak sukar untuk isu ini diambil tindakan undang-undang.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media pada Isnin berkata, pihaknya telah mengadakan empat prosiding berhubung isu-isu berkenaan pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu. Di dalam prosiding berhubung isu-isu berkenaan, PAC telah memanggil beberapa orang saksi, diantaranya adalah, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Kang Siong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Datuk Seri Norazman Ayob, bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Chen Chaw Min; bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan bekas Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Manakala saksi prosiding daripada Pharmaniaga pula terdiri daripada bekas Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran; Pengerusi, Izaddeen Daud dan Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan PPE di bawah KKM boleh memuat turun laporan berkenaan di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

#PrezCom