Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023, 17:00 – KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) telah melancarkan Model Baharu Projek Rintis Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran susu getah tempatan.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Model Baharu Projek Rintis Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) bertempat di Dewan SIGMA, Pusat Latihan Statistik, Sungkai, Slim River, Perak. Dalam satu kenyataan, KPK berkata model baharu IPL itu bertujuan membantu beralih kepada penghasilan susu getah berbanding getah sekerap. Pada masa sama, ia juga membantu meningkatkan pengeluaran lateks bagi menampung bekalan bahan itu di peringkat sektor hiliran negara.
“Melalui model baharu IPL itu, peserta kalangan pekebun kecil getah akan menerima beberapa manfaat insentif yang akan dinilai berdasarkan produktiviti lateks bakal dihasilkan dengan kadar tertentu yang telah ditetapkan. Kilang pemproses lateks terpilih dalam projek itu akan memperoleh manfaat melibatkan kebenaran khas mengutip lateks dengan syarat-syarat tertentu dan pinjaman kemudahan serta peralatan seperti RRIMMeter,” katanya.
Projek rintis model baharu IPL dibangunkan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks secara terus daripada pekebun kecil kepada kilang pemproses, yang boleh membantu meningkatkan harga jualan lateks dan pendapatan pekebun kecil getah. Pada majlis ini juga, Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) dilancarkan. Projek rintis MSNR merupakan persediaan LGM bagi menyediakan industri getah Malaysia melaksanakan pematuhan MSNR di peringkat kebangsaan, selain meneraju penghasilan getah asli dan produk getah mampan dunia.
Projek rintis MSNR akan dimulakan di beberapa negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyertaan oleh pekebun kecil, peniaga getah, dan kilang pemprosesan. YAB Menteri turut melancarkan van Kaunter Bergerak LGM. Van ini akan menyediakan perkhidmatan di kawasan-kawasan pedalaman atau yang jauh daripada pejabat LGM sedia ada. Selain itu, pada majlis sama, Fadillah turut melancarkan van Kaunter Bergerak LGM bertujuan menyantuni pekebun kecil dalam mempermudah urusan permohonan dan pembaharuan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).
Ia juga dapat memberi penerangan mengenai bantuan-bantuan kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah, IPL dan juga khidmat nasihat kepada pekebun kecil dan pelesen getah serta mempromosi teknologi dan inovasi terkini LGM, tambahnya. Kementerian sentiasa komited dalam memastikan industri getah sentiasa dipelihara, mampan dan berdaya saing melalui pelaksanaan inisiatif dan projek-projek berimpak tinggi untuk manfaat rakyat dan negara.
#PrezCom