komunikasi gaza pulih

 

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023, 16:39 – GAZA, yang mengalami pemadaman internet dan komunikasi yang serius serta sekatan kepada keperluan asas seperti makanan, minuman, perubatan hatta kebebasan untuk duduk dengan aman di rumah sendiri akibat konflik Palestin-Israel kini diumumkan telah mendapat pemulihan hubungan komunikasi, perkhidmatan internet dan telefon secara beransur-ansur selepas menerima pemadaman komunikasi total yang berlarutan selama hampir 36 jam pada 27 oktober lalu.

Paltel Group, penyedia utama perkhidmatan komunikasi di Gaza telah bersungguh-sungguh untuk membaik pulih dan mengembalikan perkhidmatan hubungan komunikasi di kawasan itu. Melalui hantaran pesanan di aplikasi X @Paltelco pada Ahad lepas, Patel Group telah mengumumkan perkhidmatan talian tetap, mudah alih dan internet telah perlahan-lahan dihidupkan semula selepas terganggu teruk oleh pencerobohan yang berterusan. Paltel Group turut berkongsi tentang keazaman mereka dalam usaha membaiki kerosakan pada infrastruktur rangkaian dalaman walaupun dalam keadaan peperangan yang mencabar itu.

Gangguan komunikasi adalah satu situasi yang membimbangkan kerana ia boleh digunakan untuk mengaburkan potensi jenayah perang. Ketakutan ini mendorong usaha untuk memulihkan saluran komunikasi dengan segera. Ia juga menambah kepada kesukaran di Gaza apabila beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa mengesahkan bahawa pemadaman komunikasi telah mengganggu operasi penyelamatan dan menghalang komunikasi dengan kakitangan mereka di Gaza. Bagi kebanyakan penduduk Gaza, pemulihan perkhidmatan komunikasi telah menjadi talian hayat, membolehkan mereka berhubung semula dengan orang tersayang dan mengakses maklumat kritikal.

Walaupun proses pemulihan komunikasi sedang berjalan, namun Konflik Palestin-Israel yang masih aktif berlangsung boleh menyebabkan berlaku semua pemadaman komunikasi di kawasan itu. Malahan, keadaan di Gaza masih tidak menentu dengan krisis isu berkaitan kekurangan bekalan elektrik, makanan, air dan perubatan lain. Bagi perkembangan yang lain pula, Elon Musk telah membuat kenyataan bahawa beliau bersedia untuk menyediakan perkhidmatan internet Starlink di Palestin, khususnya Gaza, sebagai sokongan kepada agensi bantuan antarabangsa selepas mendapat tekanan daripada warga internet.

Namun begitu, kenyataan tersebut telah mendapat reaksi negatif daripada Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi yang mengancam untuk menentangnya kerana bimbang Hamas akan mengambil kesempatan menggunakan kemudahan Starlink tersebut. Starlink adalah rangkaian satelit milik SpaceX yang ditempatkan di orbit rendah bumi dan berupaya menyediakan akses internet di kawasan terpencil atau yang menghadapi masalah komunikasi. Sebelum ini pernah digunakan di Ukraine semasa pencerobohan Rusia pada tahun 2022.

Dalam situasi konflik Palestin-Israel yang semakin menjadi-jadi ini, komuniti global telah memberi reaksi dan tindak balas yang aktif dan mengikuti perkembangannya secara teliti. Mereka mengharapkan kestabilan di rantau yang telah lama dicemari oleh keganasan dan peperangan itu. Pemulihan perkhidmatan komunikasi adalah langkah kecil tetapi penting ke arah mewujudkan semula rasa selamat bagi penduduk Gaza di samping memudahkan aktiviti penyelamatan dan misi kemanusiaan di kawasan itu.

#PrezCom