Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023, 11:50 – SATU pengorbanan yang besar demi kasih sayang terhadap sesama saudara seagama. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melelong jam tangan Rolex kesayangannya dengan harga tapak RM40,000 dan hasil jualan itu akan didermakan kepada saudara–saudara di Palestin yang kini dilanda derita akibat kezaliman tentera laknat Zionist.
Menurut Dr Zulkifli, kenaikan bidaan dibuka dengan harga RM100. Hasil jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada badan yang menguruskan derma dan kebajikan kepada rakyat Palestin untuk disampaikan kepada mereka. Jam kesayangannya itu merupakan hadiah daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz. Dr Zulkifli turut menceritakan kisah disebalik hadiah jam tangan tersebut iaitu bermula pada bulan Februari 2017 sewaktu sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
Selaku Mufti Wilayah Persekutuan yang mewakili semua mufti dan ulama Malaysia, beliau diminta menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi sewatu kunjungan hormat baginda ke Malaysia. Pada hari seterusnya Dr Zulkifli dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mengatakan ada kiriman cenderahati daripada Raja Saudi. Namun, cenderahati tersebut tidak terus dipakai oleh Zulkifli sebaliknya beliau memakai jam tangan tersebut setelah menjawat sebagai menteri. Apabila beliau meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021, kotak jam dipindahkan ke pejabat peribadinya. Sebagai menghargai kurniaan daripada baginda, Dr Zulkifli mula memakai pemberian tersebut.
Menurut Dr Zulkifli, titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan tersemat dalam hati. Dengan menjunjung titah itu dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan berbilion dollar kepada Palestin setiap tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan ini dengan harga tapak RM40,000.
Bidaan ditutup pada 31 Oktober jam 12 tengah malam. Difahamkan sehingga kini, jam tangan tersebut telah mencecah nilai angka bidaan tertinggi yang diumumkan setakat 9.35 malam tadi yang berjumlah RM130,000.
#PrezCom