Kuala Lumpur, 30 Oktober 2023, 1.31 tengahari – UNGKAPAN ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’ jelas menggambarkan signifikan pemeliharaan bahasa sebagai satu daripada usaha jitu dalam mengekalkan jati diri sesuatu bangsa. Terasa hinanya diri seseorang apabila tidak memahami bahasa sendiri dan tidak mendalami nya dengan hanya sekadar boleh bertutur sahaja. Anak-anak muda sekarang banyak mencemarkan bahasa Melayu dengan hanya menyebut separuh dari patah perkataan sebagai contoh, ada-de, boleh-leh, buat-wat dan banyak lagi pencemaran bahasa yang dilakukan dengan alasan mahu memudahkan dan mempercepatkan pertuturan. Bukan itu sahaja, golongan remaja turut menggunakan istilah baharu dalam percakapan kini untuk makna tertentu. Misalnya, kata ‘kacang’ (mudah), ‘jambu’ (lembut), ‘lu’ (awak/engkau) dan ‘gua’ (saya/aku).

Media sosial turut dikaitkan dengan isu kekacauan bahasa yang menyaksikan ia mula menjadi ancaman kepada bahasa Melayu. Misalnya, penggunaan bahasa yang ringkas dan singkat selari dengan aliran zaman lebih digemari. Malah, ia kian mendominasi khususnya dalam media sosial berbanding penggunaan bahasa standard dengan sistem yang perlu dipatuhi. Apabila pekara ini berlaku ia merupakan sesuatu yang amat menyedihkan kerana keunikan bahasa melayu yang berhemah dan indah telah dicemari bahasanya oleh anak-anak muda yang tidak bertanggungjawab.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Che Ibrahim Salleh berpandangan bahasa ‘slanga’ adalah kebiasaan dalam kehidupan seharian, namun ia mula mencetuskan kebimbangan. Slanga adalah kata-kata yang bukan daripada golongan bahasa baku dan biasanya digunakan dalam percakapan tidak rasmi serta tidak boleh digunakan dalam keadaan yang rasmi. Ada segelintir masyarakat mengatakan perubahan bahasa yang berlaku kini merupakan sesuatu yang kreatif. Tetapi kepada generasi terdahulu yang hidup dengan penuh kehormatan terhadap semua perkara, singkatan bahasa yang tidak pernah wujud di dalam kamus kehidupan orang Melayu merupakan satu tatabahasa yang salah dan jika dibiarkan berterusan, dibimbangi keunikan dan keindahan bahasa Melayu akan hilang. Keindahan bahasa Melayu tidak lagi menjadi kebanggaan bangsa.

Selain dari itu, meminjam bahasa asing turut menjadi faktor keadaan itu kerana ia mampu menenggelamkan istilah dengan maksud sama yang ada dalam bahasa Melayu. Penggunaan perkataan asing yang berlebihan atau dipinjam secara terus daripadanya boleh mengakibatkan hilangnya ciri dan jati diri. Modenisasi bahasa mampu membatasi kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkap konsep lokal. Jika bahasa Melayu terlalu dipengaruhi oleh bahasa asing, maka kemampuannya untuk mencerminkan aspek budaya, tradisi dan nilai lokal yang unik akan berkurangan. Walau bagaimanapun, meminjam istilah daripada bahasa lain adalah perlu dan boleh sahaja berlaku disebabkan arus globalisasi kini, pada masa sama, perlu untuk kita memperkenalkan semula istilah sedia ada dalam bahasa Melayu yang membawa makna sama.

Amat penting untuk anak-anak muda mengangkat dan meletakan bahasa Melayu ditempat yang tinggi dan menjadi keutamaan. Bertuturlah dengan cara berhemah tidak kira dengan golongan mana kita berinteraksi. Tinggalkan bahasa slanga atau meminjam bahasa bangsa lain untuk bertutur. Tidak perlu untuk mencampur aduk bahasa ibunda kita demi untuk menyingkatkan masa dan percakapan. Jaga bahasa Melayu kerana ia adalah identiti bangsa Melayu. Indahnya bahasa Melayu sehingga mampu menjadi bahasa pertuturan kepada 330 juta orang diseluruh dunia. Jika bangsa asing begitu tertarik untuk menguasai bahasa Melayu, mengapa kita sebagai orang Melayu tidak mahu membanggakan bahasa kita sendiri? Ungkapan ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’ jelas menggambarkan signifikan pemeliharaan bahasa sebagai satu daripada usaha jitu dalam mengekalkan jati diri sesuatu bangsa.

#PrezCom