Gubahan wang haram

Kuala Lumpur, 30 Oktober 2023, 14:07 – SEBUAH syarikat bersama empat (4) orang pengarahnya, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang pada 18 Oktober 2023 yang lalu atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah melibatkan nilai keseluruhan RM20.3 juta di antara Januari 2019 sehingga Disember 2022.

Syarikat Quinton Group Sdn Bhd bersama empat pengarahnya iaitu Tan Kwong Yeow dan Ooi Chuen Chie, masing-masing berumur 35 tahun, Lim Shing Yee, 31, dan Seow Ming Cjoy, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid. Sebanyak keseluruhan 94 pertuduhan telah dibacakan terhadap tertuduh. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Puan Noor Zalizan binti Lazarous dan Puan Wan Nur Amanina binti Wan Din.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang yang disyaki merupakan hasil pengubahan wang haram berjumlah RM2.08 juta daripada sebuah akaun semasa milik Quinton Group Sdn. Bhd. bagi tempoh tahun 2019 sehingga 2022. Kesemua pengarah syarikat itu turut dituduh kerana telah menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM168,681.00 untuk memperoleh lapan (8) buah kenderaan mewah sepanjang tempoh tersebut. Azman dalam kenyataan berkata kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid yang kemudiannya menetapkan 1 Disember bagi sebutan semula kes.

Semua pengarah syarikat itu turut dituduh menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM168,681 untuk memperoleh lapan kenderaan mewah sepanjang tempoh berkenaan. “Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613]. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi,” menurut kenyataan itu lagi. Bagi harta yang dibuktikan terbabit dengan pengubahan wang haram juga boleh dilucut hak dan dijadikan hasil kepada kerajaan.

Setelah mendengar permohonan TPR dan rayuan peguam, telah menetapkan jumlah jaminan keseluruhan ke atas kesemua tertuduh sebanyak RM1,748,000.00. Walau bagaimanapun, peguam tertuduh telah mengemukakan rayuan berhubung kaedah pembayaran wang jaminan kerana melibatkan nilai yang besar. Mahkamah kemudiannya membenarkan kaedah pembayaran wang jaminan sebanyak dua (2) kali iaitu sebanyak RM80,000.00 setiap seorang pada tarikh pertuduhan manakala selebihnya pada 23 Oktober 2023 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan kepada semua tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada Mahkamah dan larangan mengganggu saksi dalam apa jua cara. Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat tersebut maka jaminan akan dibatalkan.

#PrezCom