solidariti palestin

 

Kuala Lumpur, 29 Oktober 2023, 12:00 – KEKEJAMAN regim Israel terhadap penduduk Palestin semakin menjadi perbualan hangat di media sosial. Selain menyalurkan bantuan kewangan dan mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin, satu fenomena unik telah muncul di dunia permainan dalam talian.

Roblox, permainan dalam talian yang popular dikaitkan dengan kanak-kanak, telah menyaksikan satu perhimpunan maya yang luar biasa melibatkan lebih daripada 200 pemain yang menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin. Pemain-pemain ini yang kebanyakannya dari Malaysia, melambai bendera Palestin bersama bendera kebangsaan masing-masing.

Pendukung Palestin daripada beberapa negara lain turut menyertai perhimpunan solidariti maya ini seperti Yemen, Indonesia, Australia dan sebagainya.
Dalam permainan tersebut, satu sepanduk yang bertulis “Solidariti Untuk Mu Palestin” terpampang jelas berfungsi sebagai simbol sokongan yang kuat dan ini memberi tumpuan kepada usaha solidariti dalam dunia maya.

Semua ini berlaku berkat inisiatif seorang pempengaruh streamer tempatan yang dikenali sebagai Cikgu Zyd Gaming, yang mengadakan perhimpunan dalam permainan tersebut.
Walaupun Roblox mempunyai dasar mengecualikan penggunaan istilah tertentu termasuklah perkataan “Palestin.” Namun ia tidak menghalang kanak-kanak kreatif ini daripada menggunakan bendera Palestin untuk membantah keganasan yang berterusan, dan mereka semakin dikenali kerana aktivisme gigih mereka.

Kejayaan perhimpunan ini telah menimbulkan gelombang sokongan global, dengan pengguna dari seluruh dunia memuat naik video sebagai maklum balas kepada bentuk solidariti maya yang unik ini. Video-video tersebut mengungkapkan penghargaan terhadap belas kasihan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dan remaja Malaysia dan menyatakan keprihatinan mereka terhadap tragedi Gaza yang berterusan. Mereka juga berkongsi pautan untuk menggalakkan remaja dan kanak-kanak di seluruh dunia untuk menyertai gerakan solidariti maya ini dalam Roblox.

Sementara itu, para pengguna Roblox dari seluruh dunia semakin mula memahami isu konflik Palestin-Israel dan menghantar mesej sokongan buat kanak-kanak yang telah mengambil inisiatif seperti ini.
Reaksi dan maklum balas daripada orang ramai yang melihat dan membaca tentang perhimpunan solidariti secara maya ini juga sangat positif dengan ramai yang menyatakan minat mereka untuk menyertai perhimpunan solidariti ini pada masa akan datang.

Sementara itu, Cikgu Zyd sebagai pemandu arah bagi inisiatif kolektif ini, telah mewujudkan satu ruangan bilik yang dinamakan “Dataran Tanjung Mas” dalam Roblox di mana protes maya ini berlaku setiap hari jam 5 petang.
Perhimpunan luar biasa ini menjadi bukti bahawa kanak-kanak yang umum diketahui lebih terdedah kepada dunia permainan digital mereka, juga turut mempunyai kebebasan menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu global serta memperlihatkan bagaimana generasi muda, termasuk kanak-kanak dan remaja mampu mencari cara unik untuk mengatasi isu-isu global yang penting dengan pantauan yang baik.

Selain itu, inisiatif seperti perhimpunan solidariti maya di Roblox dan rangkaian peta yang dicipta sebagai tanda sokongan dalam permainan adalah langkah baik ke arah kesedaran global dan aktivisme dalam talian yang positif.

#PrezCom