Kuala Lumpur, 29 Oktober 2023, 11:00 – LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan tegas mengesahkan bahawa projek pembinaan plaza tol di jalan menaiki Genting Highlands melalui Gohtong Jaya adalah inisiatif swasta dan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, LLM menjelaskan bahawa pembinaan plaza tol tersebut berlaku di atas tanah persendirian dan tidak berkaitan dengan Lebuhraya bertol Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan ia juga bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan persekutuan. Namun, pemaju masih perlu mengemukakan permohonan mengikut undang-undang walaupun ia dibuat di atas tanah persendirian.
Memetik kenyataan Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, “Tanah itu adalah tanah persendirian, namun sebarang pembinaan masih tertakluk kepada undang-undang. Ingin ditegaskan, pembinaan plaza tol itu tidak ada kena mengena dengan LLM, dan LLM juga tidak pernah menerima apa-apa permohonan berkaitan pembinaan itu.”
Kenyataan ini dibuat LLM bagi menjawab tanda tanya dan spekulasi berkaitan projek pembinaan plaza tol di Genting Highlands yang tersebar melalui perkongsian satu gambar pembinaan struktur gantri plaza tol di situ oleh seorang pengguna Facebook dan ditularkan ke media sosial tersebut baru-baru ini.
Berkelangsungan daripada penularan gambar-gamber tersebut, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menjelaskan telah mendapat pengesahan daripada sebuah syarikat berhubung pembinaan plaza tol di kawasan tersebut sejak 13 Oktober lalu. Namun, pembinaan plaza tol itu tidak dimaklumkan kepada LLM mahupun KKR, dan sehingga hari ini pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) serta Kerajaan Negeri Pahang masih tidak menerima apa-apa permohonan berkenaannya.
Di samping itu, beliau turut mengulas bahawa sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta menyatakan bahawa satu arahan henti kerja telah dibuat kepada pemaju bagi tujuan mengkaji semula tindakan tersebut.
Meskipun begitu, pihak pemaju telah mendakwa bahawa mereka mempunyai hak untuk membangunkan tanah persendirian tanpa perlu memohon kelulusan daripada KKR atau LLM. Mereka mendakwa bahawa projek ini adalah pembinaan tol yang sah di atas tanah milik persendirian dan tidak memerlukan sebarang kebenaran daripada kerajaan negeri atau agensi berkaitan.
Bagaimanapun, menurut undang-undang tempatan, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian perlu mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada pemaju telah mematuhi peraturan tempatan.
Pembinaan apa-apa prasarana atau insfrastuktur termasuklah di kawasan persendirian hendaklah mengikut panduan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Akta ini mengawal pembangunan dan perancangan bandar dan desa, termasuk perluasan infrastruktur seperti plaza tol untuk memastikan keselamatan, perancangan, dan kepentingan komuniti tempatan.
Pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands, telah menjadi isu hangat dan menjadi bahan perbincangan sejak gambar-gambar pembinaan tersebut tersebar. Kekeliruan berkaitan bidang kuasa projek ini telah diperjelaskan oleh LLM, mengakhiri spekulasi yang berterusan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Namun begitu, keperluan terhadap pembinaannya masih menjadi perdebatan dalam masyarakat dan isu ini akan terus dipantau oleh pemimpin dan pihak berkuasa tempatan. Pihak syarikat yang akan mengendalikan pembinaan tol tersebut juga akan bertanggungjawab terhadap pengurusan cerun, penanggulangan tanah runtuh, penyelenggaraan jalan, dan lampu jalan di kawasan tersebut.
#PrezCom