
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2023, 17:30 – MAJLIS Raja-Raja telah membuat satu mesyuarat khas bagi membahas undian pemilihan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara sekitar jam 10.00 pagi hari ini. Justeru itu, Raja-Raja Melayu telah mengadakan pengundian untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Mesyuarat ini adalah susulan tamatnya tempoh lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari tahun depan.
Hasil pemilihan, Raja-Raja Melayu telah bersepakat untuk memilih Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-17. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah mengisytiharkan pengesahan pelantikan tersebut yang akan berkuat kuasa selama lima tahun, bermula dari 31 Januari 2024. Menurut kenyataan Tan Sri Syed Danial, keputusan Majlis Raja-Raja ini akan dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah dimaklumkan tentang pelantikan ini.
Turut berlangsung pada kejadian sama ialah pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga bagi tempoh lima tahun yang sama. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah dipilih bagi menyandang jawatan tersebut. Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini telah dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong adalah berdasarkan Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, di mana Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan tersebut kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya adalah yang pertama dalam senarai pemilihan. Jika Raja yang pertama tidak menerima tawaran itu, proses pengundian akan dijalankan dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai tersebut.
Susunan penggiliran pertama telah bermula pada tahun 1957 dan berlangsung hingga 1994 dengan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama yang memegang jawatan itu diikuti oleh Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, dan Perak.
Malaysia adalah salah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu. Sementelahan itu, pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan tamat tempoh berkuat kuasa pada 30 Januari 2024, iaitu selepas lima tahun memerintah sejak 31 Januari 2019. Sepanjang pemerintahan, baginda telah menghadapi pelbagai cabaran termasuklah krisis politik, pandemik COVID-19, dan situasi Parlimen tergantung. Pelbagai aktiviti telah dilakukan oleh baginda bagi menangani isu dan cabaran tersebut dan baginda juga telah memulakan inisiatif seperti program Kembara Borneo yang bertujuan merapatkan hubungan antara raja dan rakyat.
Berkesinambungan dengan itu, pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Agong yang baharu ini membawa harapan rakyat yang menggunung agar dapat membawa kesinambungan dan keamanan kepada negara secara berterusan lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi dan politik global yang kian membimbangkan kini.
#PrezCom