
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2023, 15:48 – KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 dan menyasarkan 500 penerima biasasiswa setiap tahun bermula tahun hadapan. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata seramai 500 penerima biasiswa akan menyertai MyBrain 2.0 setiap tahun dengan peruntukan tahunan RM20 juta. Katanya, penerima program itu adalah dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan 2023 di sini hari ini, Mohamed Khaled berkata program MyBrain15 merupakan antara produk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berimpak tinggi dan diperkenalkan mulai 2011 namun dihentikan pada 2016. “Program MyBrain 2.0 juga diperkukuh menerusi aspek cakupan dan pelaksanaannya termasuk pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan oleh penerima biasiswa. KPT memperuntukkan RM20 juta bagi setiap ambilan khususnya dalam bidang-bidang yang kompetitif seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di pelbagai peringkat. Program biasiswa MyBrain 2.0 ini boleh dimohon oleh semua yang layak bermula Januari tahun depan,” katanya ketika melancarkan program itu di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau juga mengumumkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT bagi peringkat sijil sehingga pasca siswazah dalam dan luar negara. Difahamkan, pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara akan menerima kenaikan ESH sebanyak RM100. Ia melibatkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0.
Selain itu, pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas) akan menerima kenaikan ESH sebanyak RM100. “KPT akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada hanya satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda (RM730), Ijazah Sarjana (RM800), dan PhD (RM1,000). Walau bagaimanapun, penyeragaman ini tidak melibatkan MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada program adalah lebih baik daripada program-program lain sedia ada,” katanya lagi.
Pelajar sedia ada dan baharu luar negara peringkat Sarjana dan PhD di bawah Program MyBrainSciene akan menerima kenaikan 15 peratus. Tambah beliau, kadar ESH penuntut di United Kingdom (UK) akan diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan. Ia berikutan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan-kawasan berlainan. Begitu juga dengan mereka yang berada di Amerika Syarikat di mana akan diseragamkan daripada tiga kadar kepada dua kadar sahaja. “Walau bagaimanapun, kadar ESH yang dinikmati oleh pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan,” tambahnya.
Jelas Mohamed Khaled lagi, pemilihan pelajar bagi tajaan biasiswa ini juga akan melalui tapisan kelayakan akademik lebih ketat dan mewajibkan sesi temuduga bagi pelajar baharu sekali gus melahirkan graduan berkualiti. Prestasi pelajar juga akan dipantau menerusi Sistem Biasiswa Bersepadu (SBB) yang membolehkan pelajar memuat naik Laporan Kemajuan secara dalam talian dan penilaian kemajuan pelajar dilaksanakan secara sistematik.
#PrezCom