Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023, 16:54 – PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan tiada perniagaan, tapi aliran wang aktif keluar masuk. Sindiket biasanya menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan yang sah, tetapi syarikat itu sekadar untuk mengaburi mata pihak tertentu termasuk penguatkuasa undang-undang. Ramli mengulas lagi, syarikat itu hanya seperti kulit aktiviti atau muka aktiviti pengubahan wang hasil aktiviti haram. Banyak sindiket ubah wang haram secara ‘layering’, iaitu menubuhkan dan mendaftarkan satu syarikat yang sah. Sindiket biasanya menubuhkan syarikat yang kononnya bagi menjalankan perniagaan sah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tiada aktiviti perniagaan dijalankan.
Apabila disemak oleh pihak berkuasa, dapat dilihat pemindahan begitu banyak dan begitu kerap berlaku. Tetapi sebaliknya perniagaan tidak sehebat itu. Ahad lalu, BH memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan derma kepada badan amal, sembunyi kekayaan atas nama proksi serta pembiayaan politik, dikenal pasti antara modus operandi jenayah pengubahan wang haram yang semakin aktif di negara ini. Pakar undang-undang menggesa kerajaan segera melaksanakan beberapa pembaharuan dengan mempercepatkan penggubalan akta dana politik dan pengisytiharan harta. Ini perlu dilakukan bagi menangani jenayah pengubahan wang haram di Malaysia dan memerangi rasuah.
Perkukuh Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berkaitan keperluan pegawai awam memberi penjelasan kepada SPRM bagaimana memiliki harta hingga mampu hidup di luar kemampuan kewangan, selain diwujudkan pemantauan dan kawalan ke atas urus niaga mata wang kripto. Jenayah pengubahan wang haram yang dikesan semakin serius di negara ini. Individu dalam agensi penguatkuasaan dibimbangi turut melibatkan ‘orang dalam’. Ramli memberi contoh, banyak syarikat dibina hasil deposit wang oleh orang ramai, tetapi akhirnya entiti itu terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram. Orang ramai perlu sedar risiko setiap pelaburan. Malangnya ramai mangsa yang mendiamkan diri walau kehilangan wang tetapi tidak membuat laporan dan tidak membuat tuntutan kerugian. Perkara sebegini perlu dielakkan.
Perlu ketahui pelaburan apa yang mahu dibuat dan syarikat mana wang pelaburan kita dilaburkan. Pelaburan dan syarikat mestilah mendapat kelulusan agensi bertauliah kerajaan seperti Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kewangan, barulah deposit dilakukan. Perlu juga kenal pasti jika syarikat ABC yang mahu memberi pulangan banyak dalam masa yang begitu singkat sudah tentu ia mencurigakan. Elak daripada membuat pelaburan yang meragukan atau meminimumkan kerugian jika sudah membuat pelaburan. Polis akan berusaha melakukan pembanterasan, namun pencegahan paling utama adalah diri sendiri. “Perlu ada satu mekanisme untuk menyemak syarikat yang menawarkan pelaburan sedemikian. Adakah ia mempunyai kelulusan BNM atau sijil tertentu bagi penubuhan syarikat,” kata Ramli lagi. Dalam pada itu, PDRM mengingatkan anggotanya supaya tidak terjebak dan bersekongkol dengan sindiket pengubahan wang haram dan jauhkan diri daripada melakukan rasuah.
#PrezCom