Bahasa Melayu

 

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023, 16:23 – KINI setiap surat-menyurat yang ingin dihantar ke semua agensi dan jabatan kerajaan perlulah menggunakan Bahasa Kebangsaan. Hal ini adalah satu langkah penting dalam usaha mempromosikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyeru untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Malaysia) dalam surat-menyurat rasmi kepada semua jabatan kerajaan. Beliau telah mengeluarkan arahan yang jelas dengan menyatakan bahawa semua surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan mestilah ditulis dalam Bahasa Kebangsaan, dan sebarang surat yang tidak mematuhi arahan ini akan dipulangkan semula. Arahan ini turut terpakai kepada sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.

Mesej ini disampaikan oleh beliau semasa pelancaran Karnival Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia semalam. Beliau telah menekankan kepentingan memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan perlunya pematuhan yang lebih menyeluruh terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam komunikasi kerajaan.

Turut memberi sokongan penuh kepada arahan Perdana Menteri tersebut, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi yang menekankan signifikannya inisiatif ini terhadap usaha memelihara kedaulatan dan status bahasa kebangsaan. Beliau juga percaya bahawa ini akan memberi impak positif dalam bidang pendidikan, pekerjaan serta integrasi sosial. Fazreen menambah bahawa adalah penting untuk memastikan pematuhan yang ketat terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam semua surat-menyurat harian dan rasmi yang melibatkan kerajaan.

Langkah penegasan penggunaan Bahasa Kebangsaan di semua jabatan kerajaan oleh Perdana Menteri ini adalah bukti komitmen pihak kerajaan untuk menyokong pengukuhan dan perlindungan Bahasa Kebangsaan dan budaya di Malaysia serta kepentingannya dalam pembangunan negara.

#PrezCom