Majlis Raja Raja

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023, 16:22 – DALAM satu tindakan bersejarah, pemerintah Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada sesi Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara, hari ini telah berkenan berbincang dan bertukar pendapat menangani konflik Palestin-Israel yang berterusan sejak 7 Oktober 2023 telah meragut ribuan nyawa yang separuhnya merupakan bayi dan kanak-kanak.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan tegas menyatakan kebimbangan dan kecaman mereka terhadap semua bentuk keganasan, penindasan, dan ketidakadilan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menyatakan kesedihan dan kekecewaan mereka terhadap perkembangan terkini, menekankan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian untuk mengakhiri konflik berlarutan ini. Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menggesa Kerajaan Malaysia, untuk terus bersuara membela rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman yang berterusan rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan dan agama.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian Kerajaan Malaysia selama ini bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pejajahan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Masjid Al-Aqsa akan kekal sebagai tempat ibadah umat Islam.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja juga turut menggesa Kerajaan Malaysia untuk terus mengambil inisiatif dan langkah pro-aktif di pentas antarabangsa bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel. Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menyeru seluruh penduduk Malaysia untuk berdiri bersama rakyat Palestin dan memberikan sebarang bantuan kemanusiaan untuk meringankan penderitaan mereka.

Tanpa mengira etnik atau agama, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja turut menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa mengikut kepercayaan masing-masing. Matlamat bersama adalah untuk mengakhiri konflik Palestin-Israel yang terbaru dan melindungi rakyat Palestin serta membebaskan tanah mereka daripada penindasan dan penjajahan rejim Zionis Israel.

Selain itu, Yang Maha Mulia Raja-Raja juga turut menggalakkan semua masjid dan surau di negara ini, serta individu Muslim di rumah masing-masing, untuk menganjurkan solat sunat hajat dan doa memohon rahmat dan petunjuk daripada Allah S.W.T untuk menjaga kesejahteraan rakyat Palestin.

#PrezCom