
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023, 17:43 – RAMAI yang teruja dengan persembahan Judika di Rockmantic Night Judika And The Gang yang berlangsung pada 21 Oktober 2023 baru-baru ini yang bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang ini berlangsung selama dua setengah jam tanpa menjemukan peminat yang hadir. Walaupun telah beberapa hari berlalu, namun ia sangat memberi kesan yang mendalam buat hadirin yang hadir. Konsert rockmantic with Judika ini merupakan sebuah konsert yang prestij serta berkualiti dengan satu persembahan yang begitu gilang gemilang.
Siapa sangka, permulaan konsert tersebut dengan letupan pyrotechnic yang memukau dan indah serta penampilan Judika menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson sewaktu masuk ke pentas persembahan. Judika kelihatan begitu segak bersama busana jaket dan celana kulit berwarna hitam yang menyerlahkan lagi ketampanannya. Deruman enjin Harley Davidson telah menggemakan ruang udara Axiata Arena diikuti dengan sorakan daripada penonton yang hadir dan menambahkan lagi kemeriahan konsert tersebut. Malam yang meninggalkan seribu satu kenangan manis buat para peminat tegar Judika yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air termasuk dari negara Brunei, Singapura dan Indonesia. Persembahan ini sebenarnya didukung oleh tenaga produksi yang amat kukuh. Bekerja di dalam pasukan daripada pihak pengurusan P.T Dua Anak Deo (DAD) dan produksi harus diberi pujian yang tinggi. Usaha daripada kedua-dua pasukan ini mampu melahirkan sebuah persembahan yang bermutu tinggi dan ia bukanlah sebuah konsert yang dianggap biasa seperti konsert yang lain.
Kehadiran Judika bersama motosikal Harley Davidson di atas pentas diindahkan dengan limpahan cahaya lampu LED berwarna warni dengan teknik putaran dan berpusing untuk menyerlahkan lagi suasana yang sangat cantik lagi menarik. Penataan lampu yang terang telah membangkitkan satu suasana yang sukar untuk digambarkan melalui kata-kata. Perkara ini dapat dilihat dengan kehadiran 12,000 penonton yang hadir memenuhi ruang tempat duduk di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Dari awal sehingga akhir konsert, mereka menyanyi bersama-sama sepanjang persembahan Judika itu diadakan. Konsert ini turut mencatatkan sejarah tersendiri bagi Judika. Ini kerana persembahan beliau telah berjaya menarik peminat menghadiri dan mencipta satu konsert yang berskala besar. Persembahan ini turut melibatkan artis-artis DAD iaitu Axin, Dnanda dan Daniel yang membuat penampilan pertama kalinya di Kuala Lumpur. Konsert Judika ini turut melibatkan artis-artis Malaysia iaitu Marsha Milan, Haqiem Rusli, Shila Amzah serta orkestra yang diketuai oleh Tohpati yang bertindak sebagai Pengarah Muzik dan penyusunan para pemuzik, koir, penari serta kakitangan persembahan dari Malaysia yang dianggarkan seramai 300 orang.
Konsert yang menelan belanja dalam lingkungan jutaan ringgit ini merupakan sebuah konsert yang banyak menempuh berbagai kesulitan serta onak duri di mana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DAD, HM Hendra Saputra atau lebih mesra dengan panggilan Om Hendra, merasa bersyukur kerana Judika yang merupakan artis di bawah payung DAD telah berjaya membuat satu persembahan yang menghiburkan serta memberi satu kepuasan kepada sesiapa yang menyaksikannya. DAD bukan sahaja tampil dengan idea dan konsep persembahan, tetapi komited mencurahkan tenaga, masa dan kos dalam membuat persiapan persembahan dari awal hingga akhir. Bagi Hendra, Konsert Judika mengukuhkan ikatan silaturahim di antara artis dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia. Mengimbau kembali persiapan awal sebelum Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang diadakan, Om Hendra ditawarkan sebagai penganjur bersama disebabkan kemampuan dan kekukuhan DAD dari aspek reputasi dan kewangan.
Beliau berkata, sekitar bulan April dan Mei, persiapan sudah dimulakan oleh pihak DAD yang bertindak sebagai Pengurus Besar kepada Judika. Om Hendra juga mahu melihat konsert Judika ini menjadi salah satu perkara yang sukses yang pernah dilakukannya. Kos persembahan ini ditanggung oleh DAD termasuk juga bayaran untuk artis-artis Malaysia yang turut menjayakan konsert tersebut. Pihak penganjur berkenaan meminta saya mengeluarkan kos awal yang mana sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akaun pihak tersebut pada April 2023. Kalau diikutkan, kos awal dan kos promosi merupakan perbelanjaan yang paling tinggi. Dalam sekitar bulan Mei, Hendra dimaklumkan bayaran pendahuluan untuk beberapa pihak pengurusan dari Malaysia masih belum dijelaskan. Bayaran tersebut hanya dilunaskan oleh pihak penganjur yang berkenaan sekitar bulan Jun.
“Sebelum itu DAD telah pun terlebih awal mengeluarkan kos untuk bayaran pendahuluan artis-artis dan tempat persembahan serta yang lain-lain. Menurut Om Hendra lagi, bayaran pertama untuk penaja juga telah dibuat kepada rakan penganjur berkenaan sebelum berlangsungnya promosi konsert. Tetapi apabila menerima khabar yang kurang baik, Om Hendra berkata, beliau terpaksa bertindak untuk membuat siasatan bagi mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku. Apabila pihak DAD meminta penyata bank dan dokumen untuk memastikan semua bayaran telah dilunaskan, ianya tidak lengkap daripada apa yang diterima daripada pihak penganjur serta permintaan DAD juga tidak dilayan.
Menurut Hendra, sebulan sebelum berlangsungnya Konsert Judika, beliau terpaksa memendam rasa kerana DAD telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan konsert tersebut. Oleh itu, menurut Hendra, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tambah beliau, apatah lagi konsert Judika itu diadakan di Malaysia, negara jiran yang selama ini mempunyai hubungan dua hala yang baik. Hendra juga berkata, sewaktu sidang akhbar bagi mengumumkan tentang Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang di Pavillion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 17 Julai 2023, nama DAD seolah-olah tenggelam. Hanya nama penganjur berkenaan dan penaja sahaja yang disebut dan diketengahkan sedangkan pihak yang bertungkus lumus dan dipertanggungjawabkan adalah DAD.
Pada promosi dan sidang akhbar Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang pada 17 Julai lalu, beliau telah menerima banyak panggilan daripada berbagai pihak yang bertanyakan tentang bayaran sedangkan semua itu telah dibayar terlebih dahulu kepada penganjur berkenaan. “Saya tidak suka jika ada bayaran yang tertunda dan kalau begitu jadinya, reputasi Judika tercemar,” katanya. Sehubungan itu, Hendra berkata, mana-mana penganjur acara dari Indonesia yang mahu berkolaborasi atau bekerjasama dengan penganjur acara di Malaysia, perlu mengambil iktibar daripada apa yang dilalui oleh DAD. Ia satu pengalaman dan menjadi satu pengajaran buat kita semua kerana sebagai penganjur acara, biarlah amanah dan bersikap telus.
“Jangan berbuat sesuatu yang boleh mencalarkan dan menjejaskan reputasi mana-mana pihak,” kata Om Hendra sambil menambah, DAD juga milik Judika. Bagi DAD, Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang, adalah satu persembahan yang amat membanggakan. “Dalam sebuah konsert, bunyi memainkan peranan utama kerana kita mahu mendengar yang berkualiti. Di Konsert Judika, DAD dapat melihat dan merasa, hadirin amat kagum dengan kualiti penataan bunyi yang didengari. Ditambah pula dengan pyrotechnic di awal, tengah dan akhir persembahan, penonton tentunya tidak merasa bosan sepanjang menonton konsert Judika,” ujar Hendra.
Konsep dan idea Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang dengan menampilkan elemen-elemen kejutan di atas pentas sememangnya meninggalkan kenangan yang amat manis di hati para peminat dan hadirin yang menonton konsert ini. Di atas pentas, kehadiran anak perempuan Judika yang menyambut hari ulang tahunnya diraikan bersama dengan seluruh peminat Judika adalah sesuatu yang menambahkan kemanisan persembahan hari itu. Dalam masa satu hari sahaja jualan tiket bagi Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang begitu memberangsangkan. Semua tiket konsert habis dijual dan itu telah menjadi satu suntikan semangat buat Hendra dan DAD. Pihaknya berbesar hati kerana berjaya menghasilkan produksi konsert Judika yang berskala besar serta meninggalkan satu kenangan terindah di hati setiap peminat yang hadir pada tarikh 21 Oktober yang lalu.
#PrezCom