Aeotrain

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2023, 14:58 – MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meninjau perkembangan perkhidmatan penggerak penumpang automasi atau aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di kilang pemasangannya di Wuhu, China.

Set pertama perkhidmatan penggerak penumpang automasi (Aerotrain) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sedang dibina di China bakal dibawa ke Malaysia tahun depan. Beliau berkata, kilang itu merupakan satu usaha sama antara syarikat Alstom dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC).

“Saya datang untuk meninjau pembinaan dan pemasangan aerotrain, difahamkan set pertama ini hampir siap 90 peratus. Reka bentuk sama seperti sebelumnya iaitu tidak mempunyai tempat duduk untuk menghubungkan hanya dua terminal dalam jarak yang agak dekat,” katanya.

Sebelum ini, kemudahan aerotrain KLIA yang menyambungkan antara Terminal Utama dan Terminal Satelit telah diberhentikan kerana projek menaik taraf sedang dilaksanakan. Anthony memaklumkan, meskipun ia tidak mempunyai tempat duduk, namun terdapat penambahan daripada segi keluasan dan kerusi bagi golongan warga emas.

“Selain itu, reka bentuk tingkap lebih besar untuk memastikan pemandangan di luar lebih baik dan cerah,” katanya. Beliau turut berharap agar Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dapat menyelesaikan isu kontrak dengan pihak kontraktor dan projek tersebut dapat disiapkan dengan kadar segera.

#PrezCom