Kuala Lumpur, 22 Oktober 2023, 14:56 – DI Malaysia kini, terdapat satu sindiket yang menawarkan perkhidmatan menikahkan wanita dengan seorang lelaki walaupun wanita tersebut masih berstatus isteri orang. Sindiket menikahkan isteri orang ini dinamakan “nikah bersiri” lebih dikenali di kalangan warga Indonesia dan tok kadinya juga adalah warga Indonesia.

Nikah bersiri ini tidak memerlukan sebarang dokumen dan begitu ringkas dengan hanya membayar RM100 begitu popular di kalangan warga Indonesia yang menetap di Malaysia. Lebih mengejutkan lagi, terdapat warga tempatan yang mengikut cara sindiket ini untuk menghalalkan hubungan yang tidak direstui.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Nor berkata, pasangan yang berkahwin menggunakan khidmat sindiket Nikah Siri kemungkinan besar bergelumang dengan zina sekiranya pernikahan mereka tidak sah di sisi syarak kerana kekurangan rukun nikah. Pasangan tersebut bakal menanggung dosa besar selagi mana mereka bersekedudukan dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Ada juga kemungkinan perkahwinan sedemikian tidak sah di sisi syarak kerana tidak cukup rukun seperti ketiadaan wali untuk pengantin perempuan atau wali hakim.

Pernikahan yang dijalankan di luar negara sebenarnya amat merugikan dari berbagai sudut. Pernikahan di luar negara ini ada juga yang diuruskan oleh sindiket yang mana biasanya ia dilakukan tanpa kebenaran atau tidak mengikut peraturan. Pernikahan sindiket akan membawa pelbagai masalah dan merugikan banyak pihak, terutama suami isteri kerana tiada Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf sehingga boleh menjejaskan urusan penting pada masa hadapan.

Kepada warga tempatan yang terikut dengan cara nikah sindiket ini perlu memikirkan kesannya di masa hadapan. Jangan mengikut nafsu dengan hanya mencari pilihan lain yang mudah dan ringkas tanpa memikir sama ada ianya halal atau tidak dengan hanya mengikut tok kadi tanpa ada dokumen atau wali sebagai saksi. Berbaliklah kepada ajaran agama selagi kita bergelar seorang yang beragama Islam.

Harus diingat juga, bahana yang memeritkan ialah apabila mahkamah mendapati pernikahan yang dijalankan mengikut sindiket itu tidak menepati hukum syarak, maka pernikahan itu akan difaraqkan atau dibubarkan. Kaedah fiqh menyatakan; Asal dalam perkara jimak adalah haram.

Umat Islam wajib mengambil pengajaran bahawa pernikahan yang hendak dilaksanakan mesti mengikut hukum syarak serta segala peraturan ditetapkan pemerintah, demi kehidupan keluarga yang mawaddah, warahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

#PrezCom