Kuala Lumpur, 21 Oktober 2023, 19:49 – MAHKAMAH Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM2,500 terhadap seorang pembantu kedai ubat tradisional kerana menyimpan 19,011 video dan gambar lucah kanak-kanak dalam pendrive miliknya. Liew Ming Hui, 24, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Majistret T Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai 19,011 video dalam milikannya suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu satu unit kad memori (pendrive) mengandungi video dan gambar kanak-kanak di rumah bernombor 19 Atas, Lorong 1, Jalan Besar, Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2 Langkap, jam 4.20 petang, pada 29 Mei tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdapat 19,011 dokumen membabitkan video dan gambar pornografi kanak-kanak di dalam pendrive milik Liew Ming Hui hasil daripada pemeriksaan dan siasatan yang telah dilakukan pihak polis. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.
Tertuduh merupakan anak tunggal yang membantu perniagaan kedai ubat tradisional milik bapanya. Menurut peguam Jude Pereira, anak guamnya itu sudah insaf dan ini adalah kesalahan pertama tertuduh. Pereira membuat rayuan supaya anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan berbentuk denda. Bagaimanapun, Izzudin Fakri memohon mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
Mahkamah tidak membenarkan permohonan Pereira untuk menggantung pelaksanaan hukuman sementara rayuan dan telah menetapkan tertuduh supaya menjalani hukuman penjara bermula disabitkan bersalah hari ini. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas majistret berpuas hati dengan hujahan balas Izzudin Fakri terhadap rayuan Pereira.
Mengikut fakta kes, pada 29 Mei lalu, polis merampas barang kes iaitu seunit komputer riba jenama Acer, seunit adapter komputer riba jenama Liteon dan seunit pendrive jenama Kingston Datatraveler 100 G3-64GB.
#PrezCom