
Kuala Lumpur, 20 Oktober 2023, 18:30– TRAGEDI bayi dua bulan maut selepas ditinggalkan dalam keadaan tertiarap dan berbedung oleh pengasuhnya baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat terutama golongan ibu bapa yang bekerja. Walaupun rata-rata masyarakat kecewa dan mengkritik pihak berkuasa susulan kelemahan sistem pemantauan taska tidak berdaftar, tidak dinafikan ibu bapa memainkan peranan sangat penting ketika memilih taska.
Hal ini kerana taska tidak berdaftar berkembang bagaikan cendawan tumbuh sedangkan bilangan pegawai pemeriksa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau kegiatan taska pula amat terhad. Hati ibu bapa mana yang tidak luluh apabila anak yang dihantar dalam keadaan sihat kepada pengasuh, namun pulang dalam keadaan tidak bernyawa.
Dalam kes terbaharu, seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Seksyen 6, Kota Damansara di Selangor, pada Selasa minggu lalu, selepas mengalami sesak nafas. Lebih menyedihkan, Qaseh Aulia Faizul baru dua hari dijaga pengasuh di taska terbabit dan kini anak bongsu daripada dua beradik itu sudah tiada buat selamanya.
Polis kemudian menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan. Wanita warga asing berusia lewat 40-an itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan. Apa yang mengejutkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska terkenal terbabit tidak berdaftar, sekali gus melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taska 1984 iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.
Butiran kes terbabit menunjukkan bayi malang itu dibiarkan tanpa pengawasan selama sejam sebelum pengasuhnya menyedari insiden berkenaan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula memaparkan kegagalan pengasuh memberikan bantuan pernafasan bagi menyelamatkan nyawa mangsa. Risiko kematian kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh seperti ini secara rasional boleh dikurangkan sekiranya ibu bapa cakna. Sebagai pengguna perkhidmatan, ibu bapa berhak mengetahui status terkini pendaftaran taska, sama ada dengan menyemak terus di laman sesawang JKM atau mendapatkan pengesahan daripada pihak taska.
Lebih baik sekiranya pengusaha taska diwajibkan untuk memaparkan status pendaftaran taska di premis. Jika masih terdapat keraguan terhadap status pendaftaran taska, ibu bapa wajar menyemak terlebih dahulu beberapa petunjuk kualiti perkhidmatan taska. Menurut panduan permohonan pendaftaran taska, pengasuh mestilah warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas. Justeru, jika ibu bapa mendapati pengasuh bukan warganegara Malaysia, mereka sepatutnya tidak menghantar anak ke taska terbabit kerana dikhuatiri premis itu ingkar terhadap banyak lagi peraturan ditetapkan JKM.
Tambahan pula, ibu bapa boleh mendapatkan pengesahan, sama ada pengasuh bertanggungjawab mengendalikan anak masing-masing sudah hadir dan lulus Kursus Asuhan Permata (KAP). KAP adalah satu latihan lengkap pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak merangkumi aspek keselamatan serta tindakan kecemasan sekiranya sesuatu insiden terjadi. Hal ini kerana tidak mustahil pengasuh tidak bertauliah diambil bekerja jika taska itu tidak berdaftar dengan JKM.
Nisbah bilangan pengasuh terhadap anak jagaan juga adalah petunjuk penting kualiti perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak. Namun, ramai ibu bapa tidak cakna nisbah sebenar ditetapkan JKM. Bagi kanak-kanak baharu lahir hingga berusia satu tahun, seorang pengasuh hanya dibenarkan menjaga tiga kanak-kanak, manakala bagi kanak-kanak berusia lebih satu tahun hingga tiga tahun, hanya lima kanak-kanak boleh dijaga seorang pengasuh dalam satu masa.
Seorang pengasuh juga dibenarkan menjaga maksimum 10 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun. Bilangan anak jagaan terlalu ramai sebenarnya boleh menyebabkan kanak-kanak terabai dan kurang pengawasan. Malah, tidak salah sekiranya ibu bapa meneliti dan mendapatkan maklum balas lanjut daripada ibu bapa lain terhadap kualiti perkhidmatan ditawarkan taska supaya tidak mudah terpengaruh dengan pujukan pengusaha atau pengasuh.
Selain itu, ibu bapa boleh bertanya dengan jiran mengenai operasi taska di rumah sekiranya mereka mendengar herdikan, tangisan kerap dan berpanjangan atau perkara mencurigakan sebelum membuat keputusan memilih perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak.
Memandangkan banyak insiden kemalangan pernah terjadi sebelum ini, ibu bapa hari ini perlu lebih skeptikal dan tidak teragak-agak menyelidik tahap kualiti perkhidmatan taska. Kejadian baru-baru ini seharusnya dijadikan pengajaran ibu bapa supaya sentiasa melakukan semakan teliti sebelum menggunakan perkhidmatan taska kerana tanggungjawab melindungi anak bermula dengan peranan ibu bapa sendiri.
Tindakan melaporkan kegiatan taska tidak berdaftar juga harus giat dijalankan khususnya apabila ciri-ciri taska tidak berkualiti dikenal pasti dengan jelas supaya kejadian malang sebegini dapat dibendung. Sudah sampai masanya ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dengan berganding bahu bersama JKM dalam membanteras kegiatan taska tidak berdaftar yang berulang-kali meragut nyawa kanak-kanak.
#PrezCom