Kuala Lumpur, 19 October 2023, 6.00 petang – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, pernah membuat kenyataan bahawa kehadiran ramai pekerja asing di Malaysia adalah disebabkan sikap orang Malaysia yang malas berkerja terutama di dalam industri yang berat walaupun sebenarnya mereka mampu untuk melakukannya. Disebabkan sikap rakyat Malaysia yang seperti itu maka peluang kerja yang tersedia di negara sendiri telah direbut oleh warga asing yang sememangnya datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Kerja-kerja berat, merbahaya dan kotor sudah lama ditinggalkan oleh rakyat Malaysia dan perkerjaan itulah sekarang ini yang dipelopori oleh warga asing dan upahnya sangat tinggi. Namum begitu ada yang berpendapat, pandangan dan komen seperti itu adalah tidak adil.
Rata-rata rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri itu. Pada pandangan orang ramai, rakyat Malaysia sangat rajin berkerja, ada yang berkerja sebagai pengangkut sampah, buruh kasar, penoreh getah atau petani di ladang-ladang kelapa sawit dan di sawah-sawah padi. Sanggup berkerja ditengah panas terik sebagai buruh kasar dan sanggup bekerja sebagai petani dan nelayan ditengah panas terik dan bergelumang dengan selut serta berdayung ditengah lautan luas. Untuk mengatakan rakyat Malaysia bersikap malas adalah tidak tepat sama sekali kerana ramai sebenarnya yang amat rajin. Menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia, mengapa ramai majikan suka mengambil warga asing sebagai pekerja?
Jawapan sebenarnya adalah kerana pekerja asing sanggup melakukan kerja yang sama tetapi pada kadar gaji yang minima iaitu RM1,100 sebulan (bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan) atau RM5.29 sejam (bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam). Malangnya pendapatan yang sebegini adalah tidak mencukupi bagi seseorang untuk menyara kehidupannya serta keluarga, terutama sekali jika tinggal di bandar-bandar besar. Sebagai contoh, sewa apartmen murah dua bilik di Seksyen 17, Petaling Jaya ialah lebih kurang RM1,000 sebulan. Ini bermakna seseorang yang berpendapatan RM1,100 sebulan akan kehabisan wang gaji setelah membayar sewa rumah sahaja. Bahkan, untuk membayar tambang perjalanan ke tempat kerja pun belum tentu mencukupi. Bagaimana pula dengan kos makanan, bil eletrik, air dan lain-lain perbelanjaan? Bagaimana pula jika seseorang individu itu berkahwin dan mempunyai anak?
Bahkan jika pendapatan sebanyak RM1,100 digandakan menjadi RM2,200 ia masih amat sukar untuk seseorang individu menyara keluarganya. Bagi pekerja asing, ramai daripada mereka tidak mempunyai keluarga. Oleh itu, apartmen boleh dikongsikan dengan 10 rakan yang lain dan dengan itu kos menyewa dapat dikurangkan menjadi RM100 sebulan. Adakah keadaan ini yang Perdana Menteri ingin cadangkan kepada rakyat Malaysia? Iaitu jangan berkahwin dan berkeluarga, terus hidup membujang dan berkongsi tempat tinggal dengan kawan-kawan sampai tua?
Dari pandangan agama, punca utama kepada masalah kos sara hidup yang sentiasa meningkat ialah kerana sistem kewangan yang tidak berdasarkan ajaran Islam sebenar. Setelah sekian lama terbelenggu dengan masalah kos sara hidup, rakyat dan kerajaan mesti disedarkan bahawa masalah pendapatan yang tidak berpadanan dengan kos sara hidup tidak boleh diselesaikan hanya dengan Perdana Menteri membebel bahawa rakyat Malaysia malas bekerja atau terlampau memilih dalam mencari perkerjaan. Sebaliknya sistem kewangan yang telah diamalkan sekian lama yang berpaksikan kepada industri hutang atau perbankan telah mencipta wang baharu yang banyak (berjumlah lebih kurang RM7 bilion sebulan) apabila memberi hutang kepada sektor korporat, isi rumah dan kerajaan.Penciptaan wang baharu dalam jumlah yang banyak akibat kecenderungan banyak pihak untuk berhutang merupakan sumber utama kepada masalah inflasi atau kenaikan harga barang dan perkhidmatan di negara ini.
Pada masa yang sama, syarikat perniagaan dan kerajaan yang terjebak dengan hutang yang banyak ini akan terpaksa mengurangkan kos operasi supaya dapat menjelaskan balik hutang mereka.Oleh kerana itulah, ramai majikan sangat tertekan dengan peraturan gaji minima. Sebenarnya banyak syarikat, terutamanya syarikat-syarikat kecil dan sederhana tidak mampu membayar gaji minima ini kerana beban hutang syarikat yang tinggi. Dalam erti kata yang lain, jika ekonomi negara terus berkembang dengan bergantung kepada industri hutang atau perbankan, maka masalah kos sara hidup yang tinggi serta masalah kebanjiran pekerja asing tidak akan dapat diselesaikan. Bahkan, kemungkinan besar masalah ini akan menjadi bertambah teruk di masa akan datang.
Melalui Pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, banyak memberi bantuan dan subsidi kepada golongan sasar yang memerlukan. Memandangkan kos sara hidup yang yang makin meningkat, kerajaan terpaksa meneruskan pemberian subsidi dan menilai semula beberapa perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada pembangunan dan rakyat. Namun dalam apa pun keadaan , rakyat terpaksa akur dan mengikut setiap langkah yang disarankan oleh kerajaan supaya tidak lagi berlaku kekecohan dan penolakan oleh rakyat dan juga kerajaan sendiri.
#PrezCom