Kuala Lumpur, 19 Oktober 2023, 13:05 – APABILA dikatakan ramai rakyat terjejas kehidupan disebabkan kenaikan harga barangan asas, ada saja yang membangkang dengan menafikan kenyataan itu. Sudah pasti orang-orang yang menidakkan kenyataan tersebut adalah orang-orang daripada golongan kayangan atau golongan T20 yang tidak pernah merasa kesempitan hidup kerana mungkin sudah sejak lahir dihamparkan dengan kesenangan. Seluruh dunia kini berada di ambang kesusahan ditambah dengan kemelut yang melanda Asia Barat iaitu peperangan di antara Palestin dan Israel yang melibatkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Rusia. Apabila berlaku krisis negara-negara besar seperti ini, mata wang juga akan turut terkesan dan tidak terkecuali mata wang ringgit Malaysia.

Coretan dan luahan seorang pensyarah yang berasa sangat sayu apabila melihat pelajarnya yang hanya menjamah makanan sekali sehari disebabkan harga makanan kini yang sangat mahal sedangkan wang saku mereka tidak pernah bertambah. Menurut hantarannya di laman TikTok @ir.abdulrahmanbahasa, zaman sekarang begitulah keadaan sebenar yang dihadapi oleh para pelajar tidak kira dari institusi mana pun, perkara yang sama akan dihadapi iaitu kekurangan wang saku. Menurut @ir.abdulrahmanbahasa, beliau pernah bersembang dengan salah seorang pensyarah lain yang memberi gambaran yang sama iaitu tersentuh dengan keadaan para pelajar yang adakalanya tidak dapat menjamah sarapan pagi kerana perlu menyimpan duit untuk makan tengahari atau makan malam.

Katanya lagi, beliau pernah meninjau kawasan kafe di dalam kampus dan merasa sangat terkejut apabila mendapati harga seketul ayam, telur dadar dan secawan teh ais boleh mencapai RM9. Dalam hantaran yang sama, beliau mula menghitung perbelanjaan sebenar para pelajar iaitu seorang pelajar memerlukan RM270 untuk sekali makan selama sebulan. Apabila beliau telah menghitung semua keperluan seorang pelajar, kini pensyarah tersebut mulai faham kedudukan perbelanjaan sebenar. RM270 hanya untuk sekali makan sehari dan itu tidak termasuk kos-kos perbelanjaan lain. Meninjau komen-komen di facebooknya, rata-rata pelajar memberitahu perkara yang sama iaitu terpaksa mengikut perut kerana perlu berjimat untuk perbelanjaan lain.

Tiada sarapan, makan pula agak lewat petang dan malam tidak makan. Begitulah rutin harian pelajar-pelajar, wang yang ada mereka perlukan buat tambang bas untuk pulang ke kediaman masing-masing. Pensyarah tersebut mula berfikir bagaimana mereka menghadapi semua ini? Makan terpaksa dicatu, jika membeli barangan basah seperti ayam terpaksa dipotong kecil-kecil. Itu semua belum lagi termasuk bayaran sewa rumah kepada mereka yang menyewa dan bil serta keperluan penting yang lain.

Melihat kepada keadaan para pelajar sendiri, pensyarah tersebut mula bertanya kepada diri sendiri adakah perbelanjaan yang diberi kepada anaknya yang masih belajar ditempat lain, cukup atau tidak? Beliau tidak pasti sama ada cukup atau tidak dengan hanya RM500 yang diberi setiap bulan. Adakah cukup untuk 2 atau 3 kali makan dalam sehari? Saya selalu tanya anak, duit cukup tak? Tapi dia selalu jawab cukup walaupun kadang-kadang terpaksa makan sekali sehari,” luah Irma. Hantaran ini menerima 46,400 tanda suka dan 1,885 komen.

#PrezCom