Kuala Lumpur, 19 Oktober 2023, 14:50 – SUSULAN kejadian jalan runtuh di Jalan Bukit Jugra yang merupakan Jalan Negeri di Daerah Kuala Langat, Selangor pada 16 Oktober 2023, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan awal dengan menutup jalan menaiki ke Bukit Jugra.

Majlis Perbandaran Kuala Langat dalam satu kenyataan memaklumkan tempoh penutupan masuk bagi kenderaan awam adalah selama dua bulan sehingga hujun tahun untuk kerja pembaikian dan penyelenggaraan sedang dijalankan oleh pihak JKR. Penyediaan papan tanda amaran dan plan pengurusan trafik telak diaktifkan bagi mengawal keselamatan pengguna jalan raya. Bagi mengelakkan kerosakan dan hakisan tanah menjadi lebih teruk, pihak JKR juga telah memasang kanvas di lokasi yang terjejas.

Bagi tindakan jangka masa panjang, JKR Daerah Kuala Langat telah meminta pandangan dan khidmat nasihat Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR Malaysia untuk aspek pembaikan cerun dan seterusnya melaksanakan kerja pembaikan cerun. Tindakan segera dan kerja pembaikan ini perlu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak terutamanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri demi keselamatan dan keselesaan pemanduan pengguna jalan raya. Ini selaras dengan Kempen MYJalan KKR yang berhasrat agar semua pihak bersama-sama menjaga, menyenggara, membaikpulih jalan raya ini kerana akhirnya semua golongan rakyat bakal memperolehi manfaatnya.

Pelawat yang melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut diingatkan agar menjaga keselamatan dan mengelakkan diri daripada menghampiri kawasan lereng bukit buat sementara waktu. Bukit Jugra merupakan antara lokasi terkenal dengan aktiviti pendaratan luncur udara atau paragliding yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara di Selangor.

Kepada semua pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati sewaktu memandu di kawasan bercerun kerana seperti kita sedia maklum, negara kita sedang berada dalam tempoh peralihan monsun. Kemalangan dapat dielakkan dengan sentiasa berwaspada terhadap papan tanda amaran, selain cakna dengan hebahan kejadian bencana di saluran media sosial rasmi kementerian dan agensi.

#PrezCom