Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023, 15:52 – APA yang telah berlaku di Nilai? Pusat jualan murah yang begitu meriah dengan kunjungan pelanggan dari seluruh Malaysia suatu ketika dahulu, kian lama pusat jualan murah itu semakin sunyi dan tiada lagi kemeriahan dan riuh-rendah para pelanggan memilih barangan kegemaran mereka. Jika tiba hujung minggu dan hari cuti umum, berderetan bas persiaran dan bas sewa akan penuh mengelilingi tempat membeli belah tersebut sehingga tiada lagi ruang untuk diletakkan.
Kini bukan sahaja Nilai yang diselubungi kesunyian, nasib yang sama menimpa peniaga di Pusat Dagangan Seri Iskandar (SIBC) di Parit, Perak. Peniaga di sana begitu resah dan gelisah apabila mereka memikirkan masa depan perniagaan mereka yang tiada sambutan kerana tiada pengunjung yang memenuhi kawasan tersebut untuk membeli-belah. Peniaga di SIBC itu terdiri daripada kalangan peniaga karpet, kelengkapan perkahwinan dan perabot berkata, masyarakat hari ini tdak mempunyai pilihan lain untuk membeli barang iaitu dengan menggunakan pembelian di dalam talian ataupun pelanggan mengambil keputusan untuk berjimat cermat kerana di waktu ini ekonomi negara tidak berada di tahap yang bagus dengan kenaikan harga barangan asas dan mata wang ringgit yang jatuh.
Rakyat dilihat mengambil langkah berjimat cermat kerana bimbang dengan keadaan ekonomi dan lebih mementingkan untuk menyimpan wang daripada membuat sebarang pembelian. Menurut peniaga, sebelum ini pusat perniagaan mirip pusat jualan borong di Nilai 3, Negeri Sembilan itu menjadi tumpuan dalam dan luar Perak. Tetapi kini ia seolah-olah seperti bandar yang telah mati kerana tiada pengunjung dan tidak lagi sesibuk seperti dahulu. Menurut seorang peniaga Steven Lee, 55, berkata, biasanya di hujung minggu, ramai pelawat daripada luar akan datang untuk membeli-belah di kedainya. Tetapi kini ia amat berkurangan. Steven yang mula berniaga sejak 2013 merasa begitu terkesan dengan keadaan sekarang kerana barangan jualannya tidak lagi dibeli dan itu telah membuatkan dia berasa begitu rugi. Menurut Steven, sekarang ini pelanggan lebih memilih untuk melakukan pembelian melalui dalam talian.
Steven adalah penjual bunga hiasan, kain langsir dan kelengkapan perkahwinan juga sudah tidak tahu bagaimana cara untuk mengembalikan keadaan seperti dahulu. Disebabkan kurangnya pelanggan membeli-belah di kedainya, Steven telah mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah pekerja iaitu daripada 17 orang kepada 7 orang sahaja. Steven boleh menjangkakan bahawa tahun ini semua perniagaan akan berjalan dengan perlahan disebabkan ekonomi yang meleset dan kejatuhan Ringgit Malaysia yang teruk serta harga barangan asas yang secara tiba-tiba melambung naik dan langkah penjimatan yang diambil oleh rakyat untuk mengurangkan perbelanjaan isi rumah.
#PrezCom