Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023, 12:04 – SEBAGAIMANA yang kita semua tahu, banyak negara di dunia ini yang terkesan akibat penutupan berbagai industri dan perniagaan sewaktu covid-19 melanda dunia dari tahun 2018 sehingga ke tahun kemuncak iaitu awal tahun 2021. Kesan daripada kejatuhan ekonomi tersebut, perniagaan di seluruh dunia telah lumpuh dan boleh dikatakan sepenuhnya. Ia telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada semua peringkat masyarakat. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menanggung kesan dan akibatnya. Disebabkan satu bencana yang tidak disangkakan itu, kerajaan Malaysia yang memerintah di waktu itu telah cuba sedaya upaya untuk memulihkan ekonomi dengan membuat berbagai perancangan namun ia tetap sukar untuk mengembalikan keadaan seperti sebelumnya.

Sehingga kini, banyak golongan yang menderita disebabkan sasaran untuk dibantu tidak mencapai seperti yang diinginkan dan golongan ini telah bangkit untuk membuat kritikan dan menunjukkan rasa tidak puas hati kerana terpinggir berkemungkinan kerana kerajaan telah terlepas pandang terhadap mereka. Antara yang membuat protes kerana rasa dipinggirkan adalah pemandu teksi yang mendakwa bahawa pendapatan mereka merosot dengan teruk sejak pasca covid-19 sehingga sekarang dan masih lagi berada dalam keadaan tidak dapat memulihkan ekonomi diri sendiri.

Sejak dari awal tahun lagi pemandu teksi ini telah mengeluh kerana tidak mendapat pendapatan seperti yang diperolehi sebelum ini. Harapan mereka untuk mendapatkan imbuhan yang dijangka pada tahun hadapan hancur lebur begitu sahaja apabila bacaan belanjawan 2024 baru-baru ini tidak menyenaraikan mereka sebagai salah satu golongan yang menerima imbuhan seperti yang lain. Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang, Mustakim Jalel berkata, kemerosotan pendapatan menyebabkan hanya 50 daripada 124 ahli persatuan yang masih bertahan, manakala selebihnya mencari pekerjaan lain.

Persaingan daripada syarikat e-hailing dan lebih parah kemunculan teksi haram yang mengenakan tambang lebih murah menyebabkan perkhidmatan teksi kekurangan pelanggan. Pekerjaan sebagai pemandu teksi sebagai punca pendapatan diibaratkan seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Untuk itu adalah menjadi satu harapan yang besar buat semua pemandu teksi untuk mendapat imbuhan melalui belanjawan 2024 dua hari yang lepas, namun ia amat mengecewakan. Kegelisahan para pemandu teksi berterusan kerana tiada apa lagi yang mereka boleh harapkan.

Menurut Mustakim terdapat pemandu yang menjadikan teksi mereka sebagai kereta untuk digunakan bagi membawa keluarga mereka kerana tidak mampu untuk mendapatkan kereta yang lain sebagai kereta untuk kegunaan peribadi. Dengan hanya berpendapatan RM50 sehari beliau berterus terang bahawa tidak mencukupi bagi menampung keluarga terutama anak-anak yang bersekolah dan anak masih belajar di Institusi Pengajian Tinggi.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi bernama Rosman Alias, 63, yang hampir 10 tahun menjadi pemandu teksi berkata, pihak kerajaan seperti tidak memandang akan usaha mereka yang menjadi sebahagian daripada alat kemudahan untuk memudahkan pengangkutan awam. Beliau berpendapatan sekiranya keadaan sekarang tidak dapat diatasi, kemungkinan besar akan hilang perkhidmatan teksi di bumi Malaysia dan sudah tentu keluarga mereka akan mengalami kepayahan hidup kerana telah hilang punca pendapatan. Pada hakikatnya, masalah pemandu teksi ini bukan sahaja berlaku di bandar Kluang sahaja, malah di seluruh pelusuk negara.

#PrezCom