Belanjawan KKR

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023, 15.00– KEMENTERIAN Kerja Raya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang mendukung wawasan Ekonomi MADANI yang dirangka untuk membina semula negara supaya gemilang, terangkum dan mampan. Tambahan peruntukan untuk Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Belanjawan 2024 mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha meningkatkan darjat hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan asas bertaraf dunia, kata menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Selain itu kata beliau, kesemua inisiatif yang dicadangkan oleh KKR telah dipersetujui dan dibentangkan dalam Belanjawan 2024. Secara keseluruhan, KKR menerima RM9.511 bilion peruntukan bagi tahun 2024, iaitu kenaikan 12.7% berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada tahun 2023. Jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM949.37 juta iaitu kenaikan sebanyak 9.72% berbanding RM865.27 juta yang diterima untuk tahun 2023. Manakala bajet pembangunan tahun 2024 yang diluluskan adalah sebanyak RM8.561 bilion berbanding RM7.573 bilion pada tahun 2023 dengan kenaikan sebanyak 13.05%.

Memperincikan peruntukan KKR dalam Belanjawan 2024, Nanta berkata sebanyak RM2.8 bilion akan digunakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan selaras hasrat kementerian untuk terus memperkasa Kempen MYJalan KKR.

“Setakat Ogos tahun ini, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih, dan kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di jalan persekutuan,” katanya.

Sebanyak RM300 juta pula dikhususkan kepada kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang layak dan berdaftar dengan CIDB melalui Kerja Undi dan Arahan Kerja bagi mengelakkan kesenjangan peluang dan turut memperbaiki ruang pembangunan semula kemampanan kontraktor untuk terus berdaya saing dalam era revolusi industri.

Khidmat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus diperkasa bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan jalan persekutuan dengan kadar segera. Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200 ribu berbanding RM100 ribu kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Bagi menambah baik aspek kejuruteraan, Nanta berkata RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik hingga 60 peratus, manakala RM50 juta bagi merawat kawasan kemalangan tinggi, antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan persekutuan yang turut membantu mengurai kesesakan trafik.

Sementara itu, beliau berkata projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bakal siap sepenuhnya tahun depan. “Proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366-kilometer (km) melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan November ini. Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksanakan penghujung tahun ini,” katanya.

Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor dengan kos RM931 juta sepanjang 18 kilometer. Dengan siapnya pembinaan lorong tambahan ini, ia dapat mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan kepada rakyat dengan penjimatan masa sehingga 25 minit daripada 40 minit tempoh masa perjalanan sedia ada serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Kerajaan komited dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan bagi mengekang tragedi tanah runtuh, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

KKR menyasarkan matlamat untuk membangunkan negara secara mampan menerusi inisiatif Belanjawan 2024 ini, ia akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Belanjawan 2024 merupakan langkah awal dalam perjalanan pembaharuan Malaysia ke arah mencapai Ekonomi MADANI dan bagi memastikan kejayaannya, ia memerlukan pendekatan seluruh warga Malaysia yang terdiri daripada rakyat, kerajaan dan industri yang disulami dengan semangat perpaduan, tatakelola yang baik (membanteras rasuah) serta sistem penyampaian awam yang tangkas dan kolaboratif.

#PrezCom